• NPO Diberi Amaran Tidak Salur Dana Keganasan - Ahmad Zahid

    Published: Wednesday, 22 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR : Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberi amaran keras kepada semua pertubuhan bukan berasas keuntungan (NPO) di negara ini supaya tidak terlibat dalam penyaluran dana untuk aktiviti keganasan.

    Bagaimanapun, beliau berkata, setakat ini, tiada NPO di negara ini dikesan berbuat demikian.

    Katanya, kerajaan juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana NPO yang terlibat dalam aktiviti penyaluran dana untuk keganasan.

    “Kita amat khuatir organisasi yang laksana aktiviti yang ada objektif baik tetapi disalahguna untuk promosi keganasan termasuk saluran dana.

    “NPO sepatutnya untuk benda baik, kalau disalahguna, akan diambil tindakan. Setakat ini, belum dikenal pasti NPO yang terlibat, tetapi di luar negara sudah ada,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis perasmian Sidang Kemuncak Menangani Pembiayaan Pengganas (CTF) Ketiga di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia di sini hari ini.

    Yang turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Keadilan Australia, Michael Keenan; Menteri Koordinator Bidang Politik, Hukum dan Keamanan Indonesia, Wiranto dan Gabenor BNM, Tan Sri Muhammad Ibrahim.

    Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut merasmikan Penilaian Risiko Pembiayaan Keganasan Serantau terhadap NPO.

    Sidang kemuncak berkenaan berlangsung selama empat hari bermula Isnin lalu. - UTUSAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " NPO Diberi Amaran Tidak Salur Dana Keganasan - Ahmad Zahid "