• Nelayan Dibebaskan

    Published: Wednesday, 22 November 2017
    A- A+

    KUCHING: Malaysia dan Indonesia bersetuju semua nelayan kedua-dua negara yang ditahan kerana menceroboh perairan ketika menangkap ikan dibebaskan.

    Persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) itu tercapai dalam Majlis Perundingan Tahunan Malaysia - Indonesia Ke-12 yang berlangsung di bandar raya ini, semalam.

    Najib pada sidang media bersama-sama Jokowi, berkata alasan di sebalik persetujuan itu ialah mereka golongan yang seharusnya dibantu bagi meneruskan kelangsungan hidup.

    Tanpa mendedahkan jumlah sebenar nelayan terbabit, beliau berkata, kebanyakan kes pencerobohan itu berlaku secara tidak sengaja, selain dikenal pasti berpunca dari kekeliruan sempadan wilayah perairan kedua-dua negara.

    "Saya dan Presiden Jokowi sependapat bahawa nelayan terbabit golongan miskin yang bergantung sepenuhnya kepada kerja menangkap ikan untuk menyara hidup. Jadi, kita bersetuju agar mereka dibebaskan secepat mungkin bersama-sama dengan bot dan kelengkapan menangkap ikan dirampas," katanya.

    Terdahulu, Najib dan Jokowi menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (Mou) Pendidikan Tinggi Islam antara Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh serta Menteri Luar Indonesia, Retno LP Marsudi.

    Yang turut hadir Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamad; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Duta Besar Indonesia ke Indonesia, Datuk Seri Mohamad Zahrain Hashim.

    Majlis Perundingan Tahunan Malaysia - Indonesia Ke-12 juga bersempena sambutan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik kedua-dua negara.

    Najib ketika mengulas lanjut, berkata beliau dan Jokowi sedang mengenal pasti kaedah penyelesaian lebih berkesan bagi menangani isu pelanggaran sempadan perairan oleh nelayan kedua-dua negara.

    Sementara itu, Malaysia dan Indonesia juga sepakat membuka semula perdagangan rentas sempadan di Tebedu (Sarawak) - Entikong (Kalimantan Barat) dalam usaha memperkasa pertumbuhan ekonomi di Kepulauan Borneo.

    Ia seiring dengan potensi besar kepulauan ini untuk berkembang sebagai wilayah pertumbuhan ekonomi baharu dan terpenting di peringkat serantau.

    "Sempadan Tebedu - Entikong bakal menjadi laluan perdagangan darat utama antara kedua-dua wilayah selepas kita memuktamadkan usaha mengemaskini Perjanjian Perdagangan Sempadan dan Perjanjian Rentas Sempadan.

    "Ia sedang diperhalusi kedua-dua negara, yang turut membabitkan pembukaan pos sempadan baharu di sempadan Sabah, Sarawak dan Wilayah Kalimantan, dalam usaha merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi di wilayah ini," katanya

    Najib berkata, kerjasama pertahanan pula memberi tumpuan terhadap usaha bersama memerangi ancaman pengganas, khususnya militan Daesh, terutama perkongsian maklumat risikan. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Nelayan Dibebaskan "