• NBOS Sejahterakan Rakyat

    Published: Monday, 20 November 2017
    A- A+

    BAGAN DATUK: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan pelaksanaan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang mempunyai 114 inisiatif sejak sembilan tahun lalu adalah pendekatan terbaik memajukan negara dan satu-satunya program seumpamanya di dunia.

    Timbalan Perdana Menteri berkata, meskipun masih ada segelintir rakyat memandang remeh dan negatif terhadap transformasi dan pembaharuan yang diadakan, majoriti rakyat menghargai dan mengakui kebaikan program yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang membolehkan sesuatu perancangan dilaksanakan dengan berkesan, segera dan menjimatkan.

    Katanya, orang luar dan pakar pembangunan melihat kejayaan di Malaysia dengan pandangan yang objektif kerana mereka melakukan kajian empirikal sedangkan ada rakyat di negara sendiri yang sentiasa memandang sinis setiap usaha transformasi.

    "Maka dalam keadaan itu, rakyat harus melihat bahawa tujuan Perdana Menteri kita melakukan perubahan ini adalah untuk kepentingan rakyat keseluruhan.

    "Biarpun ada pihak yang menanam budaya kebencian kepada rakyat keseluruhannya, saya yakin rakyat yang juga majoriti senyap akan terus bersama-sama dengan kerajaan dan insya-Allah akan membuktikan bahawa mereka menghargai segala transformasi yang dilakukan Perdana Menteri kita," katanya.

    Beliau berucap merasmikan Fiesta NBOS Sayang Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hutan Melintang di sini, hari ini.

    Fiesta NBOS itu adalah program kedua dianjurkan selepas kali pertama diadakan di Pekan, Pahang yang dirasmikan Najib pada Oktober lalu.

    Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut melancarkan lapan inisiatif NBOS di peringkat Perak selain melancarkan Projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) Bagan Datuk dan Program Perumahan Rakyat (PPR) Bagan Datuk.

    Yang turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; beberapa Menteri Kabinet dan Timbalan Menteri; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

    Mengulas lanjut pada sidang media kemudian, Ahmad Zahid berkata NBOS memberi penjimatan kepada perbelanjaan pembangunan kerajaan termasuk penjimatan sebanyak RM2 bilion melalui kemudahan 20 Pusat Transformasi Bandar (UTC).

    "Hasilnya adalah inklusif membabitkan segenap lapisan masyarakat," katanya.

    Beliau berkata, selain UTC antara infra-rakyat NBOS yang menunjukkan kejayaan memberangsangkan adalah Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) yang menyediakan pelbagai perkhidmatan melepasi waktu pejabat dan tujuh hari seminggu.

    "Lebih membanggakan, saya dimaklumkan sudah lebih 53 juta pelanggan menerima perkhidmatan di kedua-dua kemudahan itu.

    "Selain itu, NBOS juga mewujudkan peluang pekerjaan yang tinggi di UTC dan RTC serta beberapa kemudahan lain," katanya sambil menambah kerajaan akan terus memastikan program kesejahteraan rakyat menjadi teras dalam aspirasi kerajaan. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " NBOS Sejahterakan Rakyat "