• NBOS Mengoptimunkan Perbelanjaan, Tingkat Kecekapan

    Published: Monday, 27 November 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR – Pelaksanaan inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) sejak 2009 membolehkan kerajaan mengoptimumkan perbelanjaan yang memberi manfaat kepada rakyat dengan cara paling cekap dan kos efektif, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Perdana Menteri berkata NBOS ialah komitmen kerajaan bagi memastikan kesejahteraan rakyat didahulukan dan ia telah dilaksanakan berdasarkan kepada tiga prinsip tonggak iaitu mesti berimpak tinggi, kos rendah dan pelaksanaan yang pantas bagi membolehkan manfaatnya dinikmati rakyat.

    Mengambil contoh Pusat Transformasi Bandar (UTC), yang merupakan pusat sehenti kepada komuniti bandar bagi pelbagai perkhidmatan utama kerajaan, NGO dan swasta, Najib berkata pembinaan 20 buah UTC di seluruh negara melalui NBOS telah menjimatkan kerajaan RM2 bilion.

    Beliau memberitahu persidangan Dewan Rakyat hari ini bahawa, kos sebanyak RM150 juta perlu dibelanjakan jika kerajaan membina satu bangunan baharu untuk UTC berbanding hanya RM35 juta diperlukan untuk mengubah suai bangunan sedia ada bagi mewujudkan UTC sekarang.

    “Itu contoh yang kelas. Contoh lain kita tidak perlu bina pusat latihan baharu dan kita telah dapat membenarkan polis melatih anggota mereka di kem tentera. Itu satu penjimatan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) pada sesi soal jawab mengenai keberkesanaan inisiatif NBOS bagi mengelak pertindihan fungsi jabatan dan agensi kerajaan.

    Menjawab soalan tambahan Datuk Juslie Ajirol (BN-Libaran), Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata beliau telah meminta supaya perkhidmatan Pusat Transformasi Komuniti Bergerak (Mobile CTC)iaitu himpunan pelbagai perkhidmatan bergerak kerajaan yang disediakan di dalam bas, van dan khemah-khemah, di Sabah ditambah bagi memberi perkhidmatan secara berkesan kepada lebih ramai penduduk luar bandar.

    Bagi soalan asal Juslie, Najib berkata sejak 2013, UTC telah memberikan perkhidmatan kepada lebih daripada 54 juta orang pengunjung.

    Katanya, lebih daripada 80 jabatan dan agensi kerajaan telah melaksanakan 115 inisiatif NBOS secara kolaboratif sejak 2009.

    “Hasil kerjasama dalam kalangan jabatan dan agensi kerajaan berjaya memecahkan benteng lohong (silo) yang sebelum ini memberi kesan kepada kelancaran program-program kerajaan.

    “Malah melalui kerjasama kreatif inisiatif NBOS, pelbagai jabatan dan agensi kerajaan akan lebih mengetahui fungsi masing-masing dengan lebih mendalam dan dengan itu dapat mengelakkan pertindihan fungsi-fungsi agensi,” katanya.

    Perdana Menteri turut memberitahu Dewan Rakyat bahawa NBOS merupakan pemangkin penting untuk mencapai matlamat jangka panjang Transformasi Nasional 2050 (TN50) dan merealisasikan usaha menjadikan Malaysia antara 20 negara terbaik dunia.

    Katanya, NBOS menggambarkan bahawa kreativiti dan inovasi adalah budaya yang harus ditanamkan di semua peringkat masyarakat dalam menuju aspirasi tersebut.

    “Sesungguhnya masa-masa mendatang bagi pembangunan Malaysia akan penuh dengan cabaran dan peluang baharu yang juga perlu dihadapi dengan perspektif pemikiran dan strategi yang baharu.

    “Perubahan cara dan pemikiran inilah yang sebenarnya akan memastikan agenda Transformasi Nasional dapat menjadi kenyataan nanti,” katanya. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " NBOS Mengoptimunkan Perbelanjaan, Tingkat Kecekapan "