• Nasib Tour Of Malaysia Di Tangan UCI

    Published: Monday, 6 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) khuatir imej negara akan terjejas di mata Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) susulan penangguhan saat akhir Tour of Malaysia (TOM) 2017 yang dijadualkan berlangsung pada Selasa ini.

    TOM edisi pertama yang dikendalikan Peloton Resources Sdn Bhd berstatus 2.2 dalam kalendar Jelajah Asia mempertandingkan lima peringkat perlumbaan namun sah ditangguhkan semalam menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan pengurus acara itu.

    Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Wahab, menjelaskan ia akan memberikan tanggapan yang tidak baik apabila ia ditangguhkan saat akhir seperti yang berlaku kepada Tour of Sarawak pada 2016.

    "Saya bimbang UCI akan melihat PKBM melantik pengurus acara yang tidak berpengalaman, tidak mempunyai kewangan yang kukuh dan sebagainya. Ini adalah kali kedua insiden yang lebih kurang sama berlaku selepas di Sarawak tempoh hari," katanya.

    Jelas Abu Samah, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Peloton Resources Sdn Bhd, Musairi Musa ada menghubunginya petang semalam, memaklumkan penangguhan perlumbaan itu.

    "Alasan yang diberikannya adalah musibah yang menimpa Pengerusi Jawatankuasa Penganjur TOM 2017, Datuk Sohaimi Shahadan hujung bulan lalu. Bagi pihak PKBM, sebarang penangguhan adalah dibenarkan namun tidak seharusnya dilakukan pada saat akhir.

    "Kami sendiri pernah menangguhkan Jelajah Malaysia namun ia dilakukan lebih awal, kira-kira sebulan dari tarikh perlumbaan agar tidak menyusahkan semua pihak yang terbabit. Bagaimanapun saya tidak boleh bertindak melulu, saya perlu menunggu surat rasmi penangguhan dari mereka dan melihat kandungannya.

    "Kemudian ia akan dikemukakan kepada UCI untuk membuat keputusan sama ada menangguhkannya atau membatalkan terus perlumbaan ini," jelasnya.

    Peloton Resources Sdn Bhd menerusi Pengarah Perlumbaan TOM, Jeff Adnan dalam satu kenyataan semalam memaklumkan penangguhan berkenaan atas sebab yang tidak dapat dielakkan dan mahu meneruskannya pada Januari atau Februari 2018 bergantung kepada kelulusan PKBM dan UCI.

    Tambah Jeff, mereka akan memberikan pampasan kepada semua pasukan luar negara termasuk kos tiket dan perbelanjaan yang sudah dilakukan manakala tuntutan pasukan tempatan boleh terus berhubung dengannya atau Musairi. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Nasib Tour Of Malaysia Di Tangan UCI "