• Najib Terima Kunjungan Hormat Menteri Arab Saudi

    Published: Wednesday, 1 November 2017
    A- A+

    ALOR SETAR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menerima kunjungan hormat Menteri Tenaga, Industri dan Sumber Galian Arab Saudi Khalid Abdulaziz Al-Falih di sebuah hotel terkemuka di sini.

    Menteri itu yang mengetuai satu delegasi Arab Saudi, tiba di hotel berkenaan pada 1.45 tengah hari dan disambut oleh Najib. Hadir sama Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

    Najib kemudian mengadakan mesyuarat dengan menteri berkenaan yang berlangsung kira-kira 30 minit.

    Pertemuan itu merupakan sebahagian daripada program lawatan rasmi sehari perdana menteri ke Kedah hari ini.

    Menurut pegawai kepada perdana menteri, sebarang perkara penting yang dibincangkan dalam pertemuan dengan menteri Arab Saudi itu akan diumumkan oleh perdana menteri kemudian.

    Terdahulu pagi ini, Najib yang diiringi Ahmad Bashah menerima sambutan meriah penduduk Kampung Seberang Kota, Kuala Kedah, kira-kira 12 kilometer dari sini.

    Selain bersarapan bersama penduduk kampung, Najib juga mengambil peluang membincangkan tentang pembangunan yang sedang berlangsung di kawasan itu.

    Beliau turut melawat pasar nelayan di kampung berkenaan yang merupakan antara jeti pendaratan hasil laut paling terkenal di negeri ini.

    Antara program lawatan perdana menteri hari ini ialah pertemuan tertutup dengan barisan kepimpinan negeri di Wisma Darul Aman dan menghadiri perhimpunan penjawat awam di Stadium Sultan Abdul Halim di Suka Menanti sebelum melawat loji rawatan air Syarikat Air Darul Aman di Pokok Sena.

    Perdana menteri turut dijadualkan melawat seorang penduduk Mansor Salleh di rumahnya di Kampung Belukar, Jabi sebelum menghadiri program bersama rakyat bagi menyampaikan bantuan musim tengkujuh kepada pekebun kecil di Dataran KEDA.

    Malam ini Najib dijadualkan bertemu pemimpin Barisan Nasional Kedah sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur.-Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Najib Terima Kunjungan Hormat Menteri Arab Saudi "