• Najib Mahu Kementerian Pastikan Perencanaan Bajet 2018 Dicapai

    Published: Tuesday, 14 November 2017
    A- A+
    KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak mahu setiap kementerian bersiap sedia bagi memastikan apa yang direncanakan dalam Bajet 2018 mencapai matlamat dan sampai kepada rakyat semuanya.

    Perdana Menteri merujuk kepada Rang Undang-Undang Perbekalan 2018 peringkat dasar yang diluluskan persidangan Dewan Rakyat semalam selepas mendapat undian majoriti anggota Parlimen.

    "Alhamdulillah, Rang Undang-undang Perbekalan 2018 atau Bajet 2018 diluluskan di Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama," katanya menerusi catatan di laman Twitter dan Facebooknya.

    Rang undang-undang itu diluluskan melalui undian belah bahagian yang menyaksikan 107 anggota Parlimen menyokong rang undang-undang itu berbanding 59 yang menolak dan 11 tidak mengundi.

    Rang undang-undang yang memperuntukkan RM280.25 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan dibentangkan Najib, yang juga Menteri Kewangan pada 27 Okt lepas, dibahaskan selama enam hari sejak 30 Okt.

    Ia kemudiannya digulung di peringkat kementerian selama tiga hari bermula 8 Nov, sebelum diluluskan di peringkat dasar semalam dan dijadual dibahaskan di peringkat jawatankuasa bermula hari ini. -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Najib Mahu Kementerian Pastikan Perencanaan Bajet 2018 Dicapai "