• Najib Ketuai Delegasi Malaysia Ke Vietnam

    Published: Thursday, 9 November 2017
    A- A+

    DANANG, VIETNAM: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat ketua-ketua kerajaan (AELM) Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-25 di sini.

    Mesyuarat yang bermula hari ini hingga Sabtu itu akan turut disertai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, pegawai kanan daripada Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

    Duta Malaysia ke Vietnam, M Zamruni Khalid, berkata turut mengiringi Perdana Menteri ialah isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor.

    Beliau berkata, mesyuarat APEC kali ini yang bertemakan, Mewujudkan Kedinamikan Baharu, Mengukuhkan Perkongsian Masa Depan, bertujuan untuk mengukuhkan perbincangan bagaimana untuk meningkatkan momentum pertumbuhan ekonomi APEC dan integrasi bagi membolehkan negara APEC merebut peluang daripada revolusi perindustrian keempat dan menjadikan satu kenyataan matlamat bersama penubuhan APEC untuk keamanan, stabil dan komuniti Asia Pasifik yang berpadu dan makmur,

    "Hari yang sibuk untuk Perdana Menteri," katanya pada sidang media di sini, merujuk kepada jadual yang padat untuk Najib pada hari keduanya di Danang.

    Dalam tempoh dua hari itu, Perdana Menteri akan mengambil bahagian dalam Dialog Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) dan dialog tidak rasmi di antara APEC dan ASEAN dan dua sesi pemukiman (retreat) lain.

    Pada sesi pertama pemukiman, pemimpin APEC akan berbincang mengenai topik Pertumbuhan Inovatif, Inklusif dan Pekerjaan Mapan dalam Era Digital. Pada sesi kedua, pemimpin APEC akan berhujah mengenai Pemacu Baharu untuk Perdagangan Serantau, Pelaburan dan Kesaling-Hubungan.

    Sebelum menyertai AELM, kata M Zamruni, Perdana Menteri akan mengadakan perbincangan dengan Amerika Syarikat-Gabungan Perniagaan APEC dan akan mengambil bahagian dalam dialog bertajuk Visi APEC Selepas 2020 di Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Operasi (CEO).

    Najib juga akan menyertai 10 ketua-ketua kerajaan (tidak termasuk Amerika Syarikat), dalam perbincangan sebelum acara pembukaan rasmi APEC ke-25.

    "Perdana Menteri juga akan mengunjungi Presiden Vietnam Tran Dai Quang dan dijangka akan mengadakan tiga mesyuarat bilateral dengan Perdana Menteri Australia, New Zealand dan Papua New Guinea bagi bertukar-tukar pandangan dan isu kepentingan bersama". - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Najib Ketuai Delegasi Malaysia Ke Vietnam "