• Naik Taraf Sekolah Daif Komitmen Berterusan Kerajaan

    Published: Thursday, 2 November 2017
    A- A+


    SANDAKAN - Peruntukan RM1 bilion untuk menaik taraf sekolah daif di negeri ini pada Bajet 2018 merupakan komitmen berterusan kerajaan pusat terhadap Sabah, kata Ketua Menterinya Tan Sri Musa Aman.

    Beliau berkata langkah itu bagi memastikan bukan sahaja pelajar malah guru juga dapat mengikuti suasana pembelajaran yang selesa.

    "Kerajaan pusat mendengar permintaan kita dan menerusi Bajet 2018, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan besar untuk naik taraf sekolah daif di negeri ini," katanya pada Majlis Konvokesyen Kelas Dewasa Orang Asli dan Pedalaman (KEDAP) Jabatan Pendidikan Sabah di sini, hari ini.

    Seramai 324 pelajar dewasa dari 12 sekolah di negeri ini menerima sijil pada majlis itu.

    Menurutnya kerajaan diterajui Barisan Nasional (BN) sentiasa peka dan sedar akan tanggungjawab dalam aspek pendidikan rakyat di negara ini.

    Sementara itu, Musa berkata pelaksanaan KEDAP merupakan langkah diambil kerajaan untuk memberi peluang golongan dewasa yang tidak berpeluang belajar untuk mendalami asas membaca, menulis dan mengira (3M).

    Katanya, ia sejajar dengan pelaksanaan pendidikan sepanjang hayat yang diterapkan oleh kerajaan untuk rakyat di negara ini tanpa mengira umur dan di mana mereka berada.

    Menurutnya menerusi konsep ini, kerajaan juga menyediakan elaun kepada pelajar termasuk atas kehilangan pendapatan ketika mengikuti kelas. – Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Naik Taraf Sekolah Daif Komitmen Berterusan Kerajaan "