• Musa: Kalau Sarawak Mahukan Transformasi, Ini Kuncinya...

    Published: Thursday, 23 November 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Sistem pendidikan negara harus disesuaikan dengan aspirasi negeri Sarawak ke arah menjayakan ekonomi digital, kata bekas timbalan perdana menteri Tun Musa Hitam.

    “Anda tidak boleh hanya membuat sasaran tanpa ada hala tuju. Ia hanya boleh dicapai menerusi pendidikan. Ini kuncinya,” jelasnya yang merupakan Pengerusi Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF).

    Beliau berkata demikian semasa menjadi ahli panel Agenda AWANI Khas sempena WIEF Ke-13 yang berlangsung dari 21-23 Nov, 2017, di Borneo Convention Centre, Kuching.

    Musa berkata, beliau teruja melihat maklum balas anak-anak muda semasa persidangan itu berlangsung, mencerminkan transformasi digital ekonomi Sarawak kini berada pada landasan yang tepat.

    Kuching buat pertama kali menjadi tuan rumah WIEF yang bertemakan Perubahan Disruptif: Impak dan Cabaran.

    Fokus perbincangan terarah kepada isu perubahan perdagangan dan teknologi disruptif.

    Tema ini juga bertepatan dengan sasaran Sarawak untuk melaksanakan transformasi ke arah ekonomi digital.

    Sementara itu, Bernama melaporkan Musa berkata, para peserta WIEF Ke-13, yang mana majoritinya adalah daripada sektor swasta, berkumpul bersama-sama dan bertukar-tukar idea semasa forum itu.

    "Bagi persidangan tahun ini, anda tidak melihat kerajaan menawarkan apa-apa, tetapi kita ada sektor swasta dan pemodal teroka berskala kecil yang memberi respons dengan segera kepada anda apabila anda berkongsi idea," katanya.

    WIEF Ke-13 bertujuan mengumpulkan bersama-sama komuniti Islam dan bukan Islam menerusi bidang yang sama.

    Mengenai ekonomi digital, Musa berkata, negara-negara membangun dan Islam telah mula mengguna pakai teknologi itu bagi membolehkan mereka berkembang ke peringkat global.

    "Di sinilah di mana kepimpinan politik sepatutnya menjadi sebahagian daripadanya bagi memotivasikan pemain industri untuk mengguna pakai teknologi tersebut," katanya. - Awani

    Subjects:

  • No Comment to " Musa: Kalau Sarawak Mahukan Transformasi, Ini Kuncinya... "