• Murid Tadika Diberi Dadah Sebelum Dicabul

    Published: Tuesday, 28 November 2017
    A- A+


    BEIJING - CHINA. Polis di Beijing menahan seorang guru tadika wanita berusia 22 tahun selepas menerima laporan muridnya diberi dadah dan dicabul.

    Menurut laporan CNN, guru Tadika RYB Xintiandi yang hanya dikenali sebagai Liu, ditahan Sabtu lepas.

    Selain memberi dadah dan mencabul, Liu juga disiasat atas dakwaan mendera anak muridnya.

    Pemilik tadika, syarikat RYB Education menerusi satu kenyataan, memohon maaf kepada murid, ibu bapa dan orang ramai berhubung kes itu.

    Kata RYB Education, pihaknya memecat dua guru dan pengetua tadika itu serta berjanji akan memberikan kerjasama penuh kepada polis.

    Selain itu, RYB Education juga berjanji menyediakan kaunseling psikologi kepada mangsa terlibat, menaik taraf sistem keselamatan dan menubuhkan sistem pemantau berkecuali.

    Laporan tempatan mengatakan khabar angin mengenai murid Tadika RYB Xiantiandi diberi dadah dan dicabul mula tersebar sejak minggu lalu.

    Seorang ibu mendakwa, lapan penjaga lain membuat laporan polis mengenai anak mereka yang menjadi mangsa dera dan cabul.

    Wanita itu juga mendakwa anaknya yang berusia tiga tahun disuntik dengan cecair berwarna coklat sebelum diatur dalam barisan bersama murid-murid lain.

    Dakwanya, kesemua murid terbabit kemudian 'diperiksa' oleh seorang lelaki, bukan kakitangan tadika itu yang tidak memakai seurat benang.

    Kata wanita itu, dia dan ibu bapa lain menemui kesan suntikan pada badan anak mereka dan berang kerana pihak tadika dan polis tidak membenarkan mereka memeriksa kamera CCTV tadika.

    Agensi tempatan Xinhua mengatakan, polis sedang menyiasat rakaman CCTV tadika berkenaan.

    RYB Education yang tersenarai di bursa saham New York dilaporkan mengalami penurunan saham hampir 40 peratus pada Jumaat.

    Syarikat itu mempunyai cawangan di 300 bandar di China, terdiri daripada 1,300 pusat jagaan kanak-kanak dan 500 tadika. - Sinar Harian

    Subjects:

  • No Comment to " Murid Tadika Diberi Dadah Sebelum Dicabul "