• Mungkin Cemburu Kami Bahagia, Kata Elfira Loy

    Published: Thursday, 2 November 2017
    A- A+


    Elfira Loy menyifatkan pihak yang kurang senang melihat kebahagiannya bersama penyanyi Sufian Suhaimi sebagai golongan yang cemburu.

    Pelakon 23 tahun itu berkata peminatnya lebih cenderung mendoakan kebahagiaan mereka berdua yang akan diijabkabulkan tahun depan.

    “Apabila kami melangkah lebih dekat kepada benda yang baik, iaitu mendirikan masjid, sudah tentu semua orang mendoakan yang baik.

    “Kalau ada yang berkata-kata [negatif] itu mungkin cemburu. Itu perkara biasa. Pasti akan ada orang bercakap,” katanya kepada ProjekMMO.

    Pelakon drama “Qalesya” itu mengikat tali pertunangan bersama Sufian bulan lalu dan dijangka mendirikan rumah tangga tahun depan.

    Pemuda Johor itu berkata buat masa ini persiapan perkahwinan mereka masih di peringkat awal kerana masing-masing sibuk dengan kerja.

    “Buat masa ini kami hanya melihat tempat dan memikirkan konsep. Semuanya masih di awang-awangan.

    “Masing-masing tengah berangan untuk membuat begitu dan begini tetapi semuanya belum dimuktamadkan,” katanya.

    Penyanyi “Harus Aku” berkata berkahwin di usia muda bukanlah satu halangan kerana mereka mendapat restu keluarga masing-masing.

    Katanya, Elfira tidak akan dihalang untuk meneruskan aktiviti seni selepas mendirikan rumah tangga kerana bidang itu juga menjadi minatnya.

    “Saya tidak meletakkan perkahwinan itu sebagai alasan menghalang apa yang masing-masing suka.

    “Saya akan terus beri ruang dan peluang kepada Elfira untuk dia buat apa yang dia mahu.

    “Saya pun harap Elfira faham dengan minat dan perjuangan saya dalam industri muzik,” katanya. - MalayMail

    Subjects:

  • No Comment to " Mungkin Cemburu Kami Bahagia, Kata Elfira Loy "