• Muhamad Ashraf semakin membara

    Published: Wednesday, 22 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Ditakdirkan menjadi serba kekurangan ketika usia 17 tahun tidak pernah mematahkan semangat Muhamad Ashraf Muhammad Haisham.

    Malah kejayaan meraih dua pingat emas dan satu perak di Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (Para KL2017) lalu dijadikan azimat untuk dia terus berusaha.

    Atlet yang kini berusia 21 tahun itu ketika ini dalam proses mempersiapkan diri bagi menghadapi Kejohanan Olahraga Antarabangsa Fazaa ke-9 (Grand Prix Dunia 2017) di Dubai, Emiriah Arab Bersatu, pada 2018.

    "Selepas Para KL2017, saya meneruskan latihan pagi dan petang di Bukit Jalil bagi mempersiapkan diri menghadapi Grand Prix Dubai, Mac tahun depan.

    "Saya akan beraksi untuk acara 800 meter (m) dan 1,500m dan ia adalah penampilan ketiga buat saya di Dubai.

    "Apa yang saya mahukan adalah memperbaharui rekod peribadi terbaik dalam kedua-dua acara ini," kata Muhamad Ashraf ketika dihubungi, hari ini.

    Muhamad Ashraf yang berdepan detik hitam pada 12 Januari 2013 apabila kehilangan tangan kiri akibat kemalangan motosikal kini memegang rekod temasya 1,500m.

    Dia bergelar juara kategori lelaki T46 (kekurangan anggota badan) dengan catatan masa 4'24:73.

    Selain itu, Muhamad Ashraf turut meraih pingat emas acara 800 meter T46 dengan masa dua minit 04.04s sementara perak dalam acara 400m.

    Subjects:

  • No Comment to " Muhamad Ashraf semakin membara "