• Mugabe Setuju Lepas Jawatan Dengan Syarat Diberikan Imuniti

    Published: Tuesday, 21 November 2017
    A- A+


    HARARE: Presiden Zimbabwe, Ro­bert Mugabe akhirnya dikatakan bersetuju untuk meletak jawatan tetapi dengan syarat-syarat yang ditetapkannya dan surat peletakan jawatan itu sedang dirangka.

    Sumber memberitahu CNN, para pegawai tertinggi tentera terpaksa bersetuju dengan banyak tuntutan yang dibuat oleh pemimpin itu terma­suk kuasa imuniti untuk dirinya dan isteri, Grace selain berhak terhadap harta persendiriannya.

    Sumber itu juga memaklumkan, tujuan ucapan Mugabe, 93, yang disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen adalah untuk memastikan pemimpin ve­teran itu secara terbuka mengisy­tiharkan tindakan tentera adalah mengikut perlembagaan.

    Majlis peletakan jawatan secara rasmi hanya boleh dilakukan selepas surat terbabit terlebih dahulu dihantar kepada Speaker Parlimen, tambah sumber berkenaan yang dipetik oleh portal CNN.

    Mugabe mengejutkan rakyat negara ini semalam apabila enggan mengeluarkan kenyataan semasa ucapan itu untuk meletak jawatan.

    Parti pimpinannya, ZANU-PF telah memberi Mugabe yang sebelum dikenakan tahanan rumah sejak rampasan kuasa tentera, tempoh 24 jam untuk meletak jawatan atau keengganannya meletak jawatan akan dicabar di Parlimen.

    Beliau sebaliknya berikrar akan mempengerusikan kongres ZANU-PF pada bulan depan meskipun beliau telah dipecat sebagai pemimpin oleh parti sendiri beberapa jam sebelumnya.

    Kumpulan veteran perang yang membebaskan negara ini adalah antara yang paling lantang mendesak Mugabe meletak jawatan.

    Beberapa jam selepas Mugabe memberi ucapan, pemimpin ve­teran perang, Chris Mutsvangwa memberitahu Reuters, mereka akan mengadakan bantahan awam di jalan raya ibu negara ini, sekali gus memberi tekanan terhadap presiden itu yang telah memerintah selama 37 tahun.

    Selepas dipecat oleh partinya, Mugabe tidak mempunyai banyak pilihan kecuali bertahan dengan saki baki kuasa yang masih dipegangnya.

    Terdapat spekulasi yang me­ngatakan pemimpin itu telah tersalah membaca ucapan ketika berucap secara langsung menerusi televisyen itu atau meninggalkan ayat yang menyatakan tentang peletakan jawatannya.

    Jawatankuasa Pusat ZANU-PF sebelum ini telah menamakan Emmerson Mnangagwa sebagai pemimpin baharu walaupun sebelum ini Mugabe telah memecat Mnangagwa sebagai Naib Presi­den bagi memberi laluan kepada isterinya, Grace, untuk mengisi jawatan itu, sekali gus yang mendorong rampasan kuasa tentera pada hari Rabu lalu.– AGENSI

    Subjects:

  • No Comment to " Mugabe Setuju Lepas Jawatan Dengan Syarat Diberikan Imuniti "