• Mourinho cari formula terbaik hadapi Watford

    Published: Monday, 27 November 2017
    A- A+


    LONDON: Jaringan semakin berkurangan buat Manchester United dalam beberapa perlawanan terakhir, dan pengendalinya Jose Mourinho berharap sempat mengadun formula serangan terbaik menjelang kunjungan ke Watford esok.

    United terpaksa mengharapkan gol sendiri Lewis Dunk untuk menewaskan Brighton and Hove Albion 1-0 kelmarin dan ketumpulan mereka membawa padah apabila tewas 1-0 di Basel dalam saingan Liga Juara-Juara.

    Mourinho berkata, beliau menurunkan terlalu ramai penyerang ketika menentang Brighton selepas menggandingkan Anthony Martial, Marcus Rashford dan Juan Mata di belakang Romelu Lukaku.

    "Gerakan kami (menentang Brighton) amat lemah," kata Mourinho. "Tiga pemain yang bermain dengan Lukaku tidak mendapat bola. Kami gagal dalam situasi satu lawan satu.

    "Marcus tidak mendapat perlawanan yang menggembirakannya. Jadi kami tidak dapat mencipta peluang dan mempunyai masalah di bahagian pertahanan ketika berdepan serangan balas daripada pasukan yang bagus."

    United tewas 0-1 di Chelsea pada awal bulan ini dan hanya sekali sepanjang November, ketika kemenangan 4-1 di laman sendiri ke atas Newcastle United, menampilkan corak menyerang yang licik seperti ketika di awal kempen.

    Tetapi dengan Chelsea, Tottenham Hotspur dan Liverpool semuanya tercicir mata di hujung minggu, United kini berseorangan dalam memburu pendahulu liga Manchester City.

    Mereka kini ketinggalan lapan mata di belakang kelab tetangga kendalian Pep Guardiola yang hanya akan beraksi Rabu ini, menentang Southampton di Stadium Etihad. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Mourinho cari formula terbaik hadapi Watford "