• MOSTI Sudah Beri Amaran Kuning

    Published: Monday, 6 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sudah mengeluarkan amaran tahap 'kuning' mengenai ramalan hujan lebat bakal melanda kawasan utara Semenanjung dalam tempoh beberapa hari, pada 1 November lalu.

    Timbalan Menterinya, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah, berkata MOSTI turut mengeluarkan amaran tahap jingga kemungkinan hujan luar biasa bakal melanda utara Semenanjung, kira-kira jam 6 petang pada 4 November menerusi televisyen.

    "Kami sudah memberi amaran tahap kuning mengenai keadaan cuaca hujan menerusi televisyen.

    "Tidak benar mengatakan MOSTI tidak mengeluarkan amaran awal. Ini menunjukkan Yang Berhormat tidak tengok televisyen," katanya.

    Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Tan Kok Wai (DAP-Cheras), Dewan Rakyat yang mendakwa MOSTI tidak mengeluarkan amaran awal kemungkinan berlaku hujan lebat luar biasa di Pulau Pinang menyebabkan orang ramai tidak membuat persiapan menghadapi bencana banjir.

    Terdahulu, Abu Bakar ketika menjawab soalan lisan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) berkata, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) adalah pihak yang bertanggungjawab menguruskan bencana di seluruh negara bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN).

    "Peranan kami ialah menyalurkan maklumat mengenai keadaan cuaca dari Jabatan Meteorologi agar tindakan lanjut dapat dilaksanakan pihak NADMA dan MKN.

    "Ini antara prosedur operasi piawai (SOP) yang dilakukan MOSTI dalam memastikan operasi pengurusan bencana berjalan lancar," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " MOSTI Sudah Beri Amaran Kuning "