• Mohon JPA Pertimbang Tambah Perjawatan JSJN Sarawak-Fatimah

    Published: Friday, 10 November 2017
    A- A+

    Kerajaan negeri memohon Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) supaya mempertimbangkan untuk menambah perjawatan di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Sarawak.

    Memetik laporan akhbar Utusan Borneo, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato' Sri Fatimah Abdullah berkata, dalam usaha memerangi jenayah dadah di Sarawak, pihak JSJN masih terdapat kekurangan anggota malah sebanyak 13 balai polis di Lundu, Belaga, Marudi, Julau, Konawit, Lubuk Antu, Meradong, Saratok, Simunjan, Song, Tatau, Matu, Daro termasuk kawasannya sendiri di Dalat tidak mempunyai perjawatan tersebut.

    Jelas beliau, permohonan pertimbangan itu dibuat ekoran JPA telah membekukan perjawatan baharu untuk perkhidmatan awam sehingga 2019.

    Tambah beliau, hanya 342 jawatan JSJN di Sarawak iaitu 72 pegawai dan 270 anggota. 

    "Bagaimanapun, saya difahamkan bahawa kekuatan sedia ada sekarang ini adalah hanya 306 iaitu 61 pegawai dan 245 anggota.

    “Justeru, usaha kita di pihak kerajaan (negeri) adalah memohon supaya JPA memberi pertimbangan khas kepada permohonan pertambahan perjawatan JSJN bagi Sarawak,” katanya seperti dilaporkan akhbar tersebut.

    Fatimah berkata demikian ketika menjawab pertanyaan tambahan Dennis Ngau (BN-Telang Usan) berhubung kekurangan anggota JSJN di Sarawak pada Persidangan Dewan Undangan Negeri semalam.-Sarawakiana
  • No Comment to " Mohon JPA Pertimbang Tambah Perjawatan JSJN Sarawak-Fatimah "