• Misi Balas Dendam Nicol Berjaya

    Published: Friday, 17 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Datuk Nicol David bangkit dari ambang kekalahan sebelum menewaskan Annie Au dalam pertemuan dua pemain terbaik Asia untuk melangkah ke suku akhir Terbuka Hong Kong.

    Nicol yang berusaha membalas dendam kekalahan mengejutnya di tangan Annie di Terbuka Amerika Syarikat (AS) bulan lalu, berhempas pulas sebelum menang 11-9, 9-11, 7-11, 11-9, 11-7 dalam tempoh 55 minit.

    Pemain yang menduduki ranking keenam dunia itu yang juga pemenang 10 kali Terbuka Hong Kong, melebarkan rekod pertemuannya dengan Annie kepada 24-1.

    Annie yang menduduki ranking ke-11 dunia, mendahului 7-6 di set kelima sebelum Nicol meraih lima mata untuk menang multak.

    "Dia sememangnya kerap bermain dengan baik di sini. Jadi saya sedar perlu beraksi dengan sebaik mungkin hari ini," kata Nicol, 34, yang hanya tewas sekali sepanjang 61 perlawanan di Terbuka Hong Kong sejak memenangi gelaran juara dunia pertama pada 2005.

    "Saya kekal fokus tetapi lawan beraksi dengan sangat baik hari ini. Saya beraksi agak perlahan tetapi saya sedar perlu bermain dengan lebih baik dan kekal dengan corak permainan yang dimahukan.

    "Saya tahu Annie pasti lebih bersemangat, jadi saya perlu tenang. Ada taktikal yang tidak begitu menjadi menyebabkan dia berjaya mencuri mata," katanya.

    Nicol yang juga bekas pemain nombor satu dunia akan bertemu pilihan ketiga, Camille Serme untuk menempah tiket ke separuh akhir selepas pemain dari Perancis itu menewaskan wakil Hong Kong, Joey Chan 11-6, 7-11, 11-6, 11-8.

    Sementara itu, Malaysia diletakkan selaku pilihan kesembilan dan diundi bersama India dan Austria dalam Kumpulan H untuk Kejohanan Berpasukan Dunia Lelaki di Marseille.

    Dua pasukan teratas daripada lapan kumpulan akan melangkah ke saingan kalah mati di kejohanan itu yang bakal berlangsung dari 26 November hingga 3 Disember. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Misi Balas Dendam Nicol Berjaya "