• Miri Perlu Rumah Mampu Milik Bagi Rakyat Berpendapatan Sederhana

    Published: Monday, 27 November 2017
    A- A+

    MIRI: Bagi memenuhi keperluan rakyat berpendapatan sederhana dan rendah untuk memiliki rumah sendiri, Bandar raya Miri masih memerlukan pembinaan rumah mampu milik.

    Menurut Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Lee Kim Shin, kebanyakan rakyat pada masa kini hanya mampu memiliki rumah di bawah harga RM250,000.

    “Walaupun kerajaan membina perumahan kos rendah, namun kehendak bagi memiliki rumah kos rendah berkenaan masih tinggi.

    “Justeru, kita amat mengalu- alukan pemaju swasta membina perumahan dengan harga mampu milik, agar ia bukan sahaja dapat membantu rakyat membeli rumah dengan kemampuan pendapatan, tetapi juga untuk memiliki sebuah rumah idaman,”katanya.

    Memetik laporan Utusan Borneo, beliau menjelaskan, setiap rakyat mempunyai pendapatan dan cita rasa berbeza, tetapi saling ingin menikmati hidup yang selesa dan berkualiti.

    “Bagi memenuhi keperluan mereka yang berpendapatan sederhana dan rendah untuk memiliki rumah selesa, kita berharap pemaju perumahan khasnya sektor swasta mengurangkan kos pembinaan dan membina lebih banyak rumah kos rendah khasnya bagi perumahan apartmen,” ujarnya.

    Ahli Dewan Undangan Negeri Senadin itu turut mengingatkan pemaju perumahan agar membina rumah yang berpatutan dengan harga bukan sahaja yang berkualiti, malah dari segi pelbagai aspek termasuk kebersihan dan keselamatan penduduk.

    Katanya dengan kemajuan teknologi, bahan binaan dan kaedah pembinaan yang semakin canggih, sudah pasti pemaju perumahan dapat mencari bahan binaan yang menjimatkan kos dan berkualiti.

    “Sama ada penjual atau pembeli, kita masing-masing memerlukan hasil yang memuaskan.

    “Pembeli mahukan kualiti yang terbaik dan berpatutan, manakala penjual mahukan keuntungan.

    “Oleh itu, pemaju perlu bijak memastikan kepentingan kedua-dua pihak diutamakan,” tegasnya.

    Sementara itu, projek Lite View Park bagi fasa pertama itu merangkumi 96 unit strata, di atas tapak seluas kirakira 20 ekar dengan mempunyai laluan hijau sepanjang 300 meter termasuk trek joging dan tempat beriadah barbeku.

    Terdapat empat fasa blok kediaman dan satu fasa komersial arked. – Sarawakiana
  • No Comment to " Miri Perlu Rumah Mampu Milik Bagi Rakyat Berpendapatan Sederhana "