• MIDA Akan Tarik Pelabur Industri Berat ke Sarawak

    Published: Thursday, 23 November 2017
    A- A+

    KUCHING: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan menarik pelabur daripada industri berat ke Sarawak membabitkan nilai pelaburan lebih RM17 bilion.

    Menurut Menteri Muda Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan Usahawan Datuk Mohd Naroden Majais kerajaan amat serius dalam perkara ini.

    Memetik laporan Utusan Borneo, beliau berkata Sarawak sentiasa bersedia dalam menyediakan pembangunan infrastrukur bagi memenuhi keperluan pelaburan asing dan tempatan.

    “Buat masa sekarang, kita sedang proses pembangunan infrastruktur termasuk dalam sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT),” ujarnya.

    Bagaimanapun Naroden memberitahu, persiapan dari segi tenaga kerja Sarawak masih belum mencukupi.

    “Jika kita bercakap tentang persiapan dari segi infrastruktur, kerajaan sentiasa bersedia dan dalam proses membangunkannya (infrastruktur).

    “Tetapi dari segi tenaga kerja, masih belum cukup untuk menampung keperluan perindustrian yang semakin meningkat,” katanya.

    Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk N. Rajendran berkata Sarawak antara empat destinasi pelaburan terbesar di Malaysia selepas Johor, Selangor dan Pulau Pinang.

    Tanpa mendedahkan lanjut tentang pelaburan terbaharu tersebut, beliau berkata ia akan melibatkan industri berat termasuk keluli dan kaca.

    “Saya yakin, dengan kemasukan pelaburan tersebut bakal membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada syarikat tempatan dengan menyalurkan bekalan bahan mentah, komponen, peralatan dan perkhidmatan.

    “Malah ia sekali gus membawa syarikat multinasional dan tempatan termasuk PKS bersama-sama menerusi rangkaian dalam usaha membina rantaian bekalan yang kukuh di rantau ini,” jelasnya. – Sarawakiana
  • No Comment to " MIDA Akan Tarik Pelabur Industri Berat ke Sarawak "