• Mesir Lancar Bas Khas Wanita Sahaja Atasi Kes Cabul

    Published: Friday, 24 November 2017
    A- A+

    KAHERAH: Satu ujian baharu dijalankan oleh sebuah syarikat pengangkutan awam swasta Mesir, yang sedang mencari huraian terhadap isu pencabulan dan gangguan seksual dalam bas.

    Caranya ialah menyediakan bas-bas hanya untuk penumpang kaum wanita. Pemandunya juga mestilah seorang wanita, lapor media tempatan semalam.

    Naib presiden syarikat bas tersebut mendedahkan kepada agensi berita Al Arabiya bahawa sehingga kini, percubaan yang dijalankan membuahkan hasil. Tetapi isu utama adalah kekurangan pemandu wanita.

    “Idea baharu ini adalah percubaan untuk menawarkan khidmat pengangkutan awam yang selamat dan selesa bagi kaum wanita yang sekali gus menghapuskan kes pencabulan,” kata Omar Al-Engleezy.

    Syarikat tersebut memutuskan untuk mengkhususkan khidmat bas hanya untuk kaum wanita sama seperti operasi gerabak-wanita sahaja di rangkaian sistem kereta api bawah tanah Kaherah ketika ini.

    Tambah Omar, syarikat itu turut merancang untuk menyediakan bas khusus bagi setiap laluan dan mengumumkan pada masa akan datang mengadakan pertandingan untuk merekrut lebih ramai lagi pemandu wanita.

    Sungguhpun demikian, hanya beberapa pencalonan diterima. Bagaimanapun menurut syarikat tersebut, sejak percubaan itu dijalankan di beberapa laluan di Kaherah, ia menerima maklum balas yang menggalakkan.

    Beliau menekankan bahawa tambang tetap sama dengan khidmat bas yang lain dan tujuannya adalah untuk menggalakkan wanita selesa menggunakan pengangkutan awam dengan lebih selamat.

    Omar berkata juga bahawa syarikat itu sedang berusaha untuk melatih beberapa kumpulan pemandu wanita untuk memandu bas di jalan raya Kaherah yang amat sesak. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

    Subjects:

  • No Comment to " Mesir Lancar Bas Khas Wanita Sahaja Atasi Kes Cabul "