• Mercy Malaysia buka klinik bergerak di pusat pemindahan

    Published: Thursday, 9 November 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Mercy Malaysia yang mula menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di Pulau Pinang sejak Ahad lalu, membuka klinik bergerak di empat pusat pemindahan di Seberang Prai Utara.

    Empat lokasi terbabit di Sekolah Agama Al-Irsyad Nurul Hidayah (Sungai Lokan); Kampung Desa Puri (Tasek Gelugor); Dewan Muhibbah Merbau Kudong (Sungai Dua) dan SK Padang Menora (Tasek Gelugor).

    Ketua Komunikasi Mercy Malaysia, Chan Li Jin ketika dihubungi berkata, ketika ini terdapat 10 petugas dan sukarelawan badan kemanusiaan itu di Seberang Prai Utara dengan empat darinya petugas perubatan.

    Katanya, Mercy Malaysia turut menyalurkan 500 kit kebersihan di empat pusat pemindahan mangsa banjir dan 500 lagi akan diedarkan esok.

    "Klinik bergerak Mercy Malaysia bermula semalam di Sekolah Agama Al-Irsyad Nurul Hidayah, Sungai Lokan di mana 40 pesakit (mangsa banjir) dirawat. Kita buka klinik sehingga jam 12 tengah malam," katanya.

    Pulau Pinang dilanda banjir sejak Sabtu malam dengan lebih 6,000 mangsa terjejas selain berlaku kemusnahan harta benda.

    Mercy Malaysia antara badan terawal menggerakkan sukarelawan ke Pulau Pinang apabila sukarelawan negeri dikerahkan mengumpulkan maklumat pada hari sama insiden, ketika negeri itu lumpuh dilanda banjir.

    "Kita kerjasama dengan pegawai daerah untuk membantu mangsa banjir," kata Li Jin yang baru dilantik ke jawatan ketua komunikasi pertubuhan kemanusiaan itu yang turut membantu ribuan pelarian etnik Rohingya di Bangladesh.

    Mercy Malaysia juga turut mengagihkan selimut dan tilam kepada 100 keluarga mangsa banjir di sekitar Seberang Prai Utara.

    Li Jin berkata dua pasukan perubatan tambahan akan dihantar ke Pulau Pinang dalam masa terdekat atas permintaan Kementerian Kesihatan.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Mercy Malaysia buka klinik bergerak di pusat pemindahan "