• Menteri Kencing Tepi Jalan Pada Hari Tandas Sedunia

    Published: Wednesday, 22 November 2017
    A- A+

    MUMBAI: Seorang ahli politik India mendapat malu apabila rakaman video aksinya sedang buang air kecil di kawasan awam menjadi tular dalam kalangan netizen pada Hari Tandas Sedunia 2017.

    Lucunya, perbuatan jijik berkenaan selamba dilakukan beliau sewaktu pihak pemerintah India pula berusaha keras untuk menghentikan amalan kecing merata-rata seperti itu yang bukan luar biasa di negara Asia Selatan tersebut.

    Media tempatan melaporkan, Menteri Pemuliharaan Air di negeri Maharashtra, Prof. Ram Shankar Shinde berjaya dirakam secara eksklusif sedang khusyuk buang air kecil di tepi sebatang jalan di kawasan luar bandar Sabtu lalu.

    Video berkenaan kemudian tular menerusi Internet pada hari berikutnya. Tarikh 19 November adalah Hari Tandas Sedunia yang diadakan bagi meningkatkan kesedaran mengenai risiko kesihatan disebabkan kekotoran jamban.

    Shinde adalah ahli parti pemerintah Bharatiya Janata bagaimanapun mempertahankan tindakannya. Ironi beliau pernah dilantik sebagai menteri untuk portfolio kesihatan awam pada 2014 sebelum rombakan Kabinet tahun lalu.

    “Apabila anda perlu buang, anda perlu buat. Saya melakukan kunjungan tanpa henti sejak sebulan lalu untuk skim Jalyukta Shivar,” dia memberitahu agensi Press Trust of India (PTI), merujuk kepada program pemuliharaan air.

    “Perjalanan berterusan dengan suhu tinggi dan berdebu membuatkan saya sakit. Saya demam dan tidak menjumpai tandas, saya terpaksa membuang air kecil di kawasan terbuka,” ujar Shinde yang kini genap berusia 50 tahun itu.

    India sememangnya dikenali sebagai negara kekurangan tandas malah 70 peratus rumah tiada fasiliti jamban dan lebih kurang 600 juta penduduk negara tersebut waima wanita terpaksa membuang air kecil secara terbuka.

    Perkara memalukan itu didedahkan UNICEF, sebuah agensi di bawah Pertubuhan Bangsa Bersatu. Tiga tahun lalu, Perdana Menteri India, Narendra Modi digesa membina tandas untuk semua rakyat India menjelang tahun 2019.

    Setakat ini, pihak pemerintah hanya mampu membantu untuk membina sejumlah 50 juta tandas di seluruh negara berkenaan dan menggesa rakyat India supaya menghentikan tabiat suka membuang air kecil di kawasan terbuka.

    PTI dan beberapa portal berita tempatan melaporkan insiden itu berlaku di sebatang jalan antara bandar Barshi dan Solapur di barat daya Maharashtra, yang mana Mumbai adalah ibu negerinya. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

    Subjects:

  • No Comment to " Menteri Kencing Tepi Jalan Pada Hari Tandas Sedunia "