• Menjanda Sepanjang Hayat...

    Published: Friday, 3 November 2017
    A- A+

    KUALA TERENGGANU: Janda sepanjang hayat. Itulah status yang bakal ditanggung wanita yang melangsungkan perkahwinan dengan jurunikah tidak sah di Thailand apabila berlaku perceraian.

    Risiko itu bakal ditanggung wanita terbabit kerana perkahwinan yang diatur sindiket kononnya memudahkan pasangan yang terdesak untuk berkahwin, tidak didaftarkan dengan jabatan agama negara berkenaan.

    Keadaan itu menyebabkan wanita itu sukar mendapatkan pengesahan perceraian, sekali gus menyukarkan mereka sekiranya mahu berkahwin kali kedua.

    Sebilangan besar pasangan yang menjadi mangsa sindiket terbabit terdiri daripada wanita muda yang terdesak untuk berkahwin seperti hubungan tidak direstui keluarga sebelum memilih jalan singkat itu.

    Jumlah wang hantaran tinggi sehingga mencecah puluhan ribu ringgit juga menjadi faktor pihak lelaki tidak mampu memenuhi permintaan keluarga pasangannya menyebabkan mereka memilih untuk bernikah di Thailand.

    Difahamkan, sindiket terbabit dikatakan mampu mengaut keuntungan hingga puluhan ribu ringgit apabila mengenakan bayaran antara RM3,500 hingga RM5,000 bagi setiap pasangan.

    Bagi meringankan beban pasangan yang tidak memiliki pasport antarabangsa untuk ke negara berkenaan, sindiket terbabit licik mengatur urusan perkahwinan dengan jurunikah tidak bertauliah dari negara itu di beberapa lokasi di sempadan Kelantan/Thailand.

    Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia & Tugas-Tugas Khas negeri Ghazali Taib berkata, taraf perkahwinan tidak sah bagi pasangan yang berkahwin di Thailand menyebabkan ramai wanita negeri itu tidak dapat melangsungkan perkahwinan buat kali kedua berikutan sukar mendapatkan pengesahan perceraian daripada pihak mahkamah syariah dan jabatan agama.

    Menurutnya, ia juga menimbulkan banyak masalah lain antaranya sukar mendapatkan status kelahiran anak, isu kad pengenalan dan status kewarganegaraan.

    “Berikutan itu, satu pertemuan akan dilakukan antara kerajaan negeri dengan pejabat agama di Songkhla, Narathiwat, Pattani dan Bangkok pada pertengahan bulan ini bagi membincangkan isu berkenaan untuk kepentingan kedua-dua pihak,” katanya selepas Majlis Apresiasi Terengganu De’ Latimojong, di sini, malam kelmarin.

    Majlis berkenaan diadakan bagi meraikan kejayaan 14 pendaki termasuk pengamal media menawan puncak Gunung Latimojong di Sulawesi Selatan, Indonesia setinggi 3,478 meter dari paras laut pada awal bulan lalu.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Menjanda Sepanjang Hayat... "