• Memupuk Masa Depan Bersama

    Published: Friday, 10 November 2017
    A- A+

    Pemimpin dunia dari 21 anggota Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) bertemu minggu ini di Vietnam. Adalah jelas, bahagian pertama tema tahun ini - 'Mewujudkan dinamisme baharu' - tidak dapat dicapai tanpa ketegasan pada perkara kedua, iaitu 'membina masa depan bersama.'

    Masa depan yang kita kongsi dalam lingkungan APEC merangkumi 40 peratus penduduk dunia, 54 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global dan 44 peratus perdagangan dunia. Mengambil kira skala itu, kumpulan ini berada dalam posisi ideal untuk meningkatkan kesejahteraan warganegara kita, baik dalam bidang ekonomi dan sosial. Begitu juga untuk menangani pelbagai cabaran dihadapi dunia ketika ini yang mengancam bukan hanya masa depan tetapi masa kini.

    Kita menghadapi cabaran besar di Asia Pasifik: daripada ketegangan yang semakin meningkat di Semenanjung Korea, ancaman Daesh dan sekutunya di Asia Tenggara, kepada penderitaan dan penganiayaan yang membawa kepada penghijrahan besar-besaran yang belum pernah terjadi sebelumnya di Laut Andaman dan di negara jiran. Perhimpunan pemimpin dunia, seperti di sini, mesti mengambil kesempatan untuk bersama-sama mempertimbangkan apa yang dapat kita lakukan secara kolektif untuk mengambil tindakan.

    Bagi Malaysia, kami secara konsisten mengutuk siri ujian nuklear yang dijalankan oleh Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK). Peningkatannya boleh membawa kepada bencana nuklear, menyebabkan ratusan ribu hinggalah berjuta-juta kematian; kesan buruk radioaktif, penyakit jangka panjang yang dahsyat dan ramai lagi yang akan hilang tempat berteduh - ini adalah sesuatu yang kita tidak boleh alami pada abad ke-21.

    Elak konflik

    Mana-mana konflik, terutama yang babitkan senjata seperti itu adalah malapetaka bukan hanya kepada Semenanjung Korea tetapi untuk rantau sekitar dan dunia. Petaka nuklear membawa bencana besar pada separuh kedua abad lalu dan kita mesti mengambil segala langkah diperlukan untuk mengelakkannya berulang pada bahagian pertama abad ini.

    Pada awal tahun ini, Malaysia menghadapi satu pelanggaran kedaulatan yang tidak dapat diterima apabila Kim Jong-nam dibunuh di tempat kami dengan senjata kimia yang diharamkan. Kami mengambil tindakan segera, menghantar semula pegawai diplomatik DPRK yang berada di Malaysia dan sedang menjalankan kajian lebih luas hubungan kami dengan Korea Utara termasuk hubungan diplomatik, politik dan ekonomi, serta kemungkinan menutup kedutaan kami di Pyongyang.

    Bercakap lebih luas, kami telah lama anjurkan DPRK mematuhi sepenuhnya semua resolusi Majlis Keselamatan PBB yang relevan dan kerangka rundingan enam pihak disambung. Persetujuan untuk berdamai mengakhiri ketegangan di Semenanjung Korea adalah hadiah terbaik untuk seluruh dunia dan oleh itu, kami menyambut baik kenyataan Presiden Donald Trump bahawa 'adalah lebih rasional untuk Korea Utara hadir ke meja rundingan dan mencapai perjanjian.' Kami berharap usaha beliau dan Presiden Xi Jinping, dapat membawa kepada jalan lebih konstruktif dan kami sangat menyokong masa depan yang aman di Timur Laut Asia.

    Mengenai Daesh, kita tidak terlepas daripada pertumpahan darah seperti berlaku di Iraq dan Syria. Malah, pada Jun tahun lalu, serangan pertama Daesh berlaku di Malaysia. Walaupun ada yang cedera, tiada yang mati. Usaha berani Polis Diraja Malaysia bahawa 16 serangan terhadap Malaysia telah digagalkan, termasuk dua ketika majlis penutupan Sukan Asia Tenggara dan sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka. Tetapi kita tidak boleh, dan tidak akan biarkan kewaspadaan berlalu.

    Pada peringkat antarabangsa, kami berbangga untuk bersama banyak negara lain dalam Gabungan Global Menentang Daesh. Di tempat sendiri, kami memperkenal beberapa undang-undang anti keganasan sejak beberapa tahun lalu, jadi kami - seperti beberapa negara lain - mempunyai undang-undang yang sesuai untuk menangani masalah ini.

    Apabila kita melihat apa yang berlaku di Marawi City, Filipina, baru-baru ini, jelas ia ancaman nyata dan sekarang di rantau kita. Tiada siapa harus pandang rendah perkara itu, dan saya tidak akan meminta maaf kerana meletakkan keselamatan dan keselamatan rakyat Malaysia terlebih dahulu.

    Cabaran ini perlu ditangani dalam beberapa cara: bukan hanya dengan pencegahan, tetapi juga dengan memerangi radikalisasi dan bekerja untuk memulihkan mereka yang ditipu penjenayah yang mencemarkan nama Islam.

    Promosi konsep wasatiyyah

    Usaha kami mempromosi konsep wasatiyyah, dan contoh melalui inisiatif Gerakan Kesederhanaan Global telah diiktiraf secara meluas dan menjadi model negara lain. Ini disahkan awal tahun ini melalui penubuhan Pusat Raja Salman untuk Perdamaian Antarabangsa - sokongan hebat oleh Penjaga Dua Masjid Suci.

    Agama mestilah mengenai keamanan, persaudaraan dan saling menghormati. Malangnya, ini tidak berlaku di Rakhine, Myanmar, apabila jelas dunia melihat bahawa kempen pembersihan etnik telah berlaku terhadap Rohingya yang telah mengalami kekejaman yang dahsyat sehingga sebahagian besar daripada mereka melarikan diri dari rumah. Penganiayaan semacam itu bukan hanya membawa kepada kebanjiran pelarian di negara jiran, tetapi juga menimbulkan radikalisasi dan ketidakstabilan serantau.

    Malaysia adalah antara negara pertama yang mendesak tindakan. Malaysia yang mencadangkan mesyuarat Menteri Luar ASEAN di Yangon pada Disember lalu. Kami menganjurkan Sidang Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam Majlis Menteri Luar untuk membincangkan nasib Rohingya pada Januari tahun ini. Kami juga memimpin banyak inisiatif kemanusiaan, menghantar barangan dan mendirikan sebuah hospital lapangan untuk membantu pelarian Rohingya di Bangladesh.

    Saya gembira bahawa selepas kami membangkitkan isu itu dengan Presiden Trump ketika lawatan saya ke Rumah Putih pada September, pentadbirannya semakin mengambil pendirian tegas mengenai tragedi di Myanmar.

    Oleh sebab semua cabaran keselamatan ini, kami tidak boleh berpeluk tubuh. Kerajaan Malaysia akan sentiasa berusaha memastikan keamanan, kestabilan dan keselamatan di Asia Pasifik. Kita semua mesti 'memupuk masa depan bersama', saya berharap dan berdoa bahawa selepas sidang kemuncak APEC dan ASEAN seterusnya dan sidang akan datang, kita akan membuat kemajuan besar dalam hal itu. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Memupuk Masa Depan Bersama "