• Mayat Tersangkut Di Kaunter Tiket Stadium

    Published: Monday, 6 November 2017
    A- A+

    Dua lagi mayat ditemui menjadikan jumlah keseluruhan korban banjir di Pulau Pinang meningkat kepada enam orang.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, mayat kelima iaitu seorang lelaki dikenali sebagai Tan Ah Peow, 45, ditemui kira-kira 2 petang di Ayer Itam.

    Menurutnya, satu lagi mayat ditemui tersangkut di pintu jualan tiket Stadium Bandaraya, Jalan Datuk Keramat, oleh orang awam pada 2.40 petang.

    "Mayat keenam yang ditemui dalam keadaan bersalut lumpur dan masih belum dikenal pasti identitinya kerana kita tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri.

    "Bedah siasat dua mayat itu akan dilakukan esok," katanya.

    Banjir di Pulau Pinang hari ini, turut mengorbankan empat warga emas dengan semua mangsa ditemui lemas di rumah masing-masing akibat terperangkap dalam banjir.

    Mayat Lau Guek Jee, 64, ditemui di rumahnya di Lilitan Hargreaves, Jelutong, pada 1 pagi, manakala mayat Chong Sin Thon, 97, ditemui dalam rumahnya di Jalan Shaik Madar, Air Itam, kira-kira 1 tengah hari.

    Mayat Chew Eng Lean, 78, pula ditemui di rumahnya di Jalan P Ramlee manakala seorang lagi mangsa, Amanullah Shahib Kalandir, 75, ditemui dalam rumahnya di Kampung Masjid Jalan Perak.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Mayat Tersangkut Di Kaunter Tiket Stadium "