• Mata Polis Disembur Serbuk Lada

    Published: Thursday, 30 November 2017
    A- A+

    Seorang anggota polis berpangkat koperal berusia 25 tahun cedera di mata akibat disembur serbuk lada oleh suspek pengedar dadah pada serbuan Ops Jihad Dadah Bersepadu di Sik, jam 4 petang semalam.

    Suspek yang juga lelaki tempatan berusia 26 tahun menyembur serbuk lada itu ketika bergelut dengan anggota polis berkenaan untuk melepaskan diri.

    Ketua Polis Daerah Sik Deputi Superintendan Abdull Razak Osman berkata, operasi bersepadu itu bermula jam 12 tengah hari hingga jam 7 petang di enam kampung di Sik iaitu Kampung Keda Sungai Semiar, Kampung Desa Jaya, Kampung Banggol, Kampung Lintah, Kampung Kubang Yoi dan Kampung Danglau.

    “Anggota kami dan suspek bergelut pada serbuan di sebuah rumah di Kampung Banggol, Mukim Jeneri, Jeniang. Ia menyebabkan anggota berkenaan cedera pada mata manakala suspek cedera di kepala juga hidung.

    “Terdahulu, apabila tiba di lokasi, kami mendapati seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan sedang memandu Proton Wira.

    “Kami menahan kereta terbabit dan mengarahkan suspek keluar untuk pemeriksaan. Suspek cuba melarikan diri sebelum menyembur serbuk lada pada anggota berkenaan,” katanya dihubungi, hari ini.

    Abdull Razak berkata, suspek dapat ditahan dan pemeriksaan pada beg galasnya menemui bungkusan plastik mengandungi sembilan paket heroin seberat 233 gram selain sembilan paket syabu seberat 20 gram.

    “Dadah terbabit bernilai RM5,500, kami turut merampas alat penimbang elektronik, dua telefon bimbit dan wang tunai RM536 selain menyita Proton Wira itu,” katanya.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

    Abdull Razak berkata, pada operasi disertai 25 anggota IPD Sik, IPD Padang Terap serta Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Padang Terap, lapan penagih berusia 20 tahun hingga 50 tahun turut ditahan.

    “Serbuan dibuat dari rumah ke rumah selain lokasi penagihan di enam kampung berkenaan.

    “Dua daripada penagih yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 12 (2) ADB 1952 kerana memiliki heroin manakala enam lagi mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah 1983,” katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Mata Polis Disembur Serbuk Lada "