• Mat Yo Pertimbang Kembali Perkuat TRW

    Published: Wednesday, 8 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Keinginan untuk berada dalam kesebelasan utama serta bermain dalam setiap perlawanan menjadi tarikan utama kepada Norshahrul Idlan Talaha jika dia memilih untuk kembali menyarung jersi pasukan Kelantan pada musim depan.

    Sambil mengakui sedang menimbangkan tawaran daripada pasukan bergelar The Red Warrior (TRW) itu, Norshahrul atau lebih mesra dengan panggilan Mat Yo berkata peluang beraksi sebagai pemain utama adalah sesuatu yang dicarinya sekarang berbanding gaji lumayan.

    "Sebagai pemain, saya pernah menikmati kehidupan selesa dengan gaji yang tinggi. Saya tidak nafikan pendapatan adalah sesuatu yang penting tapi ia bukan lagi menjadi buruan saya sekarang.

    "Apa yang saya mahukan adalah menikmati setiap perlawanan dengan beraksi di tengah padang, bukan sekadar memanaskan bangku simpanan atau menjadi pemain gantian.

    "Keinginan ini mungkin sukar diperoleh jika saya kekal bersama FELDA (United) di mana sepanjang musim ini saya lebih banyak bertindak sebagai pemain gantian.

    "Di samping itu, sebagai penyerang saya lebih selesa bermain di bahagian tengah berbanding di posisi sayap kerana lebih efektif jika diturunkan di posisi kegemaran saya.

    "Ia sesuatu yang mengecewakan kerana saya yakin mampu memberi sumbangan lebih besar jika diturunkan dalam kesebelasan utama serta pada posisi yang bersesuaian.

    "Begitu pun saya tidak menyalahkan jurulatih (B Sathianathan) kerana sudah pasti beliau mempunyai perancangan tersendiri serta yang terbaik untuk pasukan," katanya.

    Mat Yo mengakui dia telah dihubungi oleh seorang pegawai Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) baru-baru ini namun belum memberi kata putus terhadap tawaran yang dihulurkan.

    Pada masa sama, menurut Mat Yo, FELDA turut menawarkan lanjutan kontrak semusim lagi selepas kontraknya berakhir baru-baru ini.

    "Buat masa ini saya belum menandatangani kontrak dengan mana-mana pasukan. Saya memerlukan sedikit masa lagi untuk berfikir sebelum membuat keputusan.

    "Saya melihat pengurusan baru KAFA begitu bersungguh-sungguh untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak Kelantan.

    "Malah, saya yakin mereka mampu menangani isu gaji yang sebelum ini menjadi masalah utama pasukan," katanya.

    KAFA dijangka mengumumkan barisan pemain bagi musim 2018 pada Sabtu ini dengan nama Mat Yo antara pemain yang disebut bakal menyertai pasukan itu bersama Wan Zack Haikal Wan Nor (FELDA United), Shakir Shaari (Johor Darul Ta'zim) dan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria (Pahang).

    Untuk rekod Mat Yo pernah menyarung jersi TRW pada musim 2010 hingga 2012 serta membantu pasukan itu menjuarai pelbagai pertandingan domestik dengan pencapaian terbaik menjuarai Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia pada 2012. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Mat Yo Pertimbang Kembali Perkuat TRW "