• Maritim Malaysia perlu lebih teliti

    Published: Tuesday, 21 November 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) meminta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merancang dengan lebih teliti kos penyenggaraan kapal dan bot.

    Pengerusi PAC, Datuk Seri Hasan Arifin, berkata Maritim Malaysia juga perlu mengambil tindakan segera melupuskan aset, bagi mengelak peningkatan kos.

    Katanya, dalam masa yang sama PAC berpandangan kerajaan perlu meningkatkan lagi keupayaan aset laut dan udara Maritim Malaysia bagi membolehkan agensi ini menjalankan tugas dengan lebih berkesan.

    "Pembelian pesawat baru untuk Maritim Malaysia baru-baru ini, jelas meningkatkan lagi keupayaan Maritim Malaysia," katanya dalam satu kenyataan mengulas mengenai pembentangan Laporan PAC di Parlimen mengenai Pengurusan Penyenggaraan Kapal/Bot Maritim Malaysia di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

    Hasan berkata, isu mengenai pengurusan penyenggaraan Kapal/Bot Maritim Malaysia itu dibangkitkan kepada PAC berikutan penemuan Jabatan Audit Negara (JAN), dalam pembentangan Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2014 Siri 2 yang dibentangkan di Parlimen pada 15 Jun 2015.

    Katanya, PAC mengadakan Mesyuarat Prosiding berhubung isu ini, pada 22 November 2016 dengan memanggil Timbalan Ketua Setiausaha Kanan JPM, Tan Sri Othman Mahmood dan Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Seri Ahmad Puzi Ab Kahar bagi menjelaskan isu yang dibangkitkan JAN.

    "Dalam Mesyuarat Prosiding berkenaan, ahli PAC Parlimen membangkitkan isu seperti prestasi kewangan, pematuhan kontrak penyenggaraan, senggaraan tahunan, kesiapsiagaan aset Maritim Malaysia, 'mothball', pelupusan, rancangan pergerakan dan pelayaran sebenar kapal/bot, jeti dan struktur organisasi Maritim Malaysia," katanya.

    Beliau menjelaskan berdasarkan prosiding berkenaan, PAC Parlimen merumuskan mereka berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan Maritim Malaysia.

    "PAC berharap Maritim Malaysia akan menjadi sebuah agensi yang lebih mantap pada masa akan datang," katanya.

    Beliau berkata, orang ramai yang berminat untuk membaca Laporan PAC Parlimen berhubung perkara itu boleh memuat turun di laman web PAC di alamat www.parlimen.gov.my/pac.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Maritim Malaysia perlu lebih teliti "