• Maritim Malaysia ketuai pengawasan udara perairan

    Published: Thursday, 23 November 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dilantik sebagai agensi peneraju bagi penyelarasan aktiviti pengawasan udara di kawasan perairan negara.

    Timbalan Perdana Menteri berkata, pelantikan itu diputuskan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) Penyelarasan Penggunaan Aset-Aset Udara Milik Agensi Kerajaan di Parlimen, semalam.

    Katanya, pelantikan dibuat berdasarkan tanggungjawab agensi itu dalam menjaga kesejahteraan dan keamanan Zon Maritim seperti termaktub dalam Akta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia 2004 (Akta 633).

    "Pesawat Maritim Malaysia juga didaftar di bawah peraturan pihak Directorate General Technical Airworthiness (DGTA) yang membolehkan setiap pesawatnya terbang bebas mengikut ketinggian diperlukan, dengan memiliki konfigurasi dan spesifikasi keperluan operasi.

    "Ini terutama untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR)," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Mesyuarat yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri semalam bertujuan menyelaras dan mengoptimumkan penggunaan aset udara milik agensi kerajaan secara kolektif.

    Ahmad Zahid berkata, mesyuarat turut memutuskan penyelarasan penggunaan aset udara yang dilaksanakan melalui mesyuarat HLC dapat meningkatkan keyakinan rakyat terhadap keupayaan serta tahap kesiapsiagaan dalam operasi kawalan keselamatan perairan dan ruang udara negara.

    "Aktiviti pengawasan ruang udara di kawasan perairan negara harus dipertingkatkan melalui konsep Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang mana kekuatan aset sedia ada dapat digunakan bersama secara kolektif.

    "Ini termasuk di Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (ESSZone) dan kawasan tertentu di Sarawak," katanya.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Maritim Malaysia ketuai pengawasan udara perairan "