• Malaysia utamakan keselamatan Asia Pasifik

    Published: Thursday, 9 November 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR - Malaysia sentiasa mengutamakan keamanan, kestabilan dan keselamatan di Asia Pasifik dan tidak teragak-agak terlibat dalam menangani segala bentuk ancaman yang boleh menghuru-harakan rantau itu.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan secara konsisten berpendirian mahu kestabilan dikekalkan seperti mana yang dibuktikan ketika berdepan isu berkaitan ujian nuklear oleh Korea Utara, ancaman kumpulan militan Daesh serta usaha penghapusan etnik Rohingya di Myanmar.

    Katanya, di peringkat domestik sendiri, kerajaan tidak bertolak ansur apabila berdepan keadaan yang boleh mengancam keselamatan dalaman dan beliau mengucapkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertindak pantas untuk menghalang cubaan serangan yang dikaitkan dengan Daesh dengan ditujukan pada majlis penutup Sukan SEA Ke-29 dan sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka, Ogos lalu.

    Pada awal tahun ini juga katanya, Malaysia turut berdepan situasi pelanggaran undang-undang berhubung pembunuhan Kim Jong-nam membabitkan penggunaan senjata kimia yang sekali gus membuatkan Malaysia menghantar pulang diplomat Korea Utara dan mengkaji kedudukan hubungan dengan negara tersebut baik dari segi diplomatik, politik dan ekonomi termasuk cadangan menutup kedutaannya di Pyongyang.

    “Dalam berdepan kesemua cabaran keselamatan ini, kita tidak boleh berdiam diri tanpa membuat apa-apa. Kerajaan akan sentiasa menekankan kepada keamanan, kestabilan dan keselamatan di Asia Pasifik,” kata Perdana Menteri menerusi catatan di blognya, www.najibrazak.com, hari ini.

    Catatan itu dibuat sempena Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) Ke-21 di Vietnam pada minggu ini dan Najib telah tiba di negara itu hari ini.

    Perdana Menteri mengharapkan kesemua isu keselamatan dan kestabilan juga diberi perhatian sepanjang sidang kemuncak terutama APEC mewakili 40 peratus populasi dunia, 54 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK) global serta menguasai 44 peratus perdagangan dunia.

    “Berdasarkan saiz semasa, kumpulan ini (APEC) berkedudukan baik untuk mengembangkan keadaan penduduknya baik dari segi ekonomi dan sosial. Malah untuk menangani banyak cabaran yang dihadapi sekarang yang bukan sahaja mengancam masa depan tetapi juga pada masa ini,” katanya.

    Najib juga menganggap isu Rohingya merupakan satu daripada perkara yang boleh menjejaskan kestabilan rantau ini apabila usaha penghapusan etnik itu mewujudkan kelompok pelarian yang ditempatkan di negara-negara jiran.

    “Malaysia menjadi antara negara terawal yang mahu tindakan ini dihentikan. Negara juga yang berjaya mengutarakan isu ini dalam Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN di Yangon pada Disember lalu. Kita juga telah mengetuai beberapa inisiatif untuk menghantar bantuan serta keperluan perubatan kepada pelarian Rohingya di Bangladesh.

    “Saya gembira selepas membangkitkan isu ini dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald J. Trump semasa lawatan ke negara itu September lalu, pentadbiran beliau mengambil tindakan susulan dalam berdepan situasi tersebut,” katanya. - UTUSAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Malaysia utamakan keselamatan Asia Pasifik "