• Malaysia Tarik Pelancong China

    Published: Tuesday, 14 November 2017
    A- A+


    HONG KONG: Tourism Malaysia akan memberi tumpuan untuk mengeksploitasi bandar kecil di negara ini sebagai tarikan baharu untuk pelancong dari China.

    Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata walaupun bandar itu biasanya kekurangan kemudahan perhubungan, namun jika berpotensi menarik pelancong, kerajaan akan memberi bantuan sewajarnya.

    "Tumpuan (menarik pelancong China) bukan hanya ke bandar-bandar utama sahaja tetapi bandar di tahap kedua yang kurang perhubungan.

    "Saya telah mengadakan perbincangan dengan beberapa LCC (syarikat penerbangan tambang murah) untuk kita mengeksploitasi destinasi mengikut jumlah pelancong yang berpotensi datang ke Malaysia.

    "CNTA (Pentadbiran Pelancongan Kebangsaan China) biasanya memberi peluang kepada pelancong China ke destinasi yang dicadangkan oleh mereka, dan dalam perkara ini CNTA boleh bantu Malaysia untuk terus mencadangkan destinasi itu.

    "Saya melihat beberapa destinasi baharu mengikut minat pelancong China ini dan mereka sangat suka hutan hujan serta pantai," katanya dalam sidang media dengan media Malaysia di bandar ini hari ini.

    Yang turut hadir Konsul Jeneral Malaysia di Hong Kong dan Macau, Datuk Tengku Sirajuzzaman Tengku Mohamed Ariffin dan Konsul Malaysia, Grace Rebekah Teh.

    Ahmad Zahid mengulas jangkaan Malaysia terhadap kedatangan pelancong China terutama dari Wilayah Pentadbiran Khas di sini ke Malaysia susulan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) ASEAN Hong Kong ditandatangai Ahad lalu di Manila, Filipina.

    Terdahulu Timbalan Perdana Menteri berkata, walaupun Malaysia menyasar kira-kira tiga juta pelancong dari China, tidak termasuk Hong Kong dan Taiwan, namun jumlah itu gagal mencapai sasaran kerana hanya 1.8 juta pelawat tiba setakat 31 Oktober lalu.

    Katanya, mustahil untuk memperoleh baki 1.2 juta pelancong lagi bagi tempoh dua bulan ini.

    Bagaimanapun katanya, angka itu diharap bertambah untuk dua tahun akan datang sejajar dengan promosi Tahun Melawat Malaysia 2020, bermula tahun depan terutama pelancong mewah dari wilayah pentadbiran ini.

    "Pihak Tourism Malaysia bekerjasama erat dengan CNTA ini dan paling penting, dari segi jaringan perhubungan iaitu penerbangan berjadual, penerbangan berkala atau sewa khas," katanya.

    Mengulas pelancong perniagaan pula, Ahmad Zahid berkata, sektor MICE (Mesyuarat, Insentif, Konvensyen dan Pameran) perlu melakukan penjadualan dan promosi lebih awal, iaitu tiga atau empat tahun sebelum pengaturan sebarang acara diadakan bagi menarik golongan sasaran. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Malaysia Tarik Pelancong China "