• Malaysia Mampu Jadi Hab E-Dagang Dunia

    Published: Tuesday, 21 November 2017
    A- A+

    KUCHING: Kerajaan akan terus memberi tumpuan khas kepada inovasi dan kreativiti ke arah menjadikan Malaysia 20 negara terkemuka dalam bidang ekonomi menjelang 2050, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Untuk mencapai impian tersebut beliau berkata, pelbagai inisiatif pembangunan negara diperkenalkan termasuk memperkenalkan Polisi Digital Malaysia (MDP) memandangkan ekonomi digital merupakan penyumbang utama pertumbuhan ekonomi.

    Malah menurutnya, kerajaan turut mensasarkan sumbangan 20 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam masa terdekat atau menjelang 2020.

    "Kita merupakan satu-satunya negara selain China yang menubuhkan Zon Dagangan Bebas Digital. Ia akan menyediakan zon fizikal dan maya untuk memudahkan perusahaan kecil dan sederhana (SME) memanfaatkan perkembangan ekonomi termasuk menerusi ekonomi internet dan e-dagang," katanya.

    Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Perasmian Forum Ekonomi Islam Sedunia Ke-13 (WIEF13) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

    Najib menjelaskan, Malaysia kini muncul antara pasaran e-dagang peringkat global melibatkan janaan pendapatan mencecah RM9.53 bilion tahun lalu.

    "Misi utama kita melalui penubuhan zon perdagangan itu adalah melakukan transformasi ekonomi berskala besar khususnya menjadikan Malaysia sebagai hab e-dagang serantau," ujarnya.

    Lebih menarik lagi menurut Najib, Malaysia mendapat tempat pertama dalam Petunjuk Ekonomi Global Islam daripada 73 negara seluruh dunia.

    "Dalam laporan itu menyebut ekonomi Islamik merangkumi makanan halal, kewangan Islam, pelancongan halal, fesyen, rekreasi, farmaseutikal dan kosmetik halal diunjurkan mencecah RM12.4 trilion menjelasng 2021," jelasnya.-Sarawakiana
  • No Comment to " Malaysia Mampu Jadi Hab E-Dagang Dunia "