• Malaysia-Kemboja Selesai Isu Sebelum Ambil Amah

    Published: Sunday, 12 November 2017
    A- A+



    KUALA LUMPUR – Beberapa perkara teknikal berkaitan pengambilan pembantu rumah warga Kemboja tanpa melalui ejen perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum ia boleh dilaksanakan di Malaysia kelak, kata Duta Besar Malaysia ke Kemboja Datuk Seri Hasan Malek.

    Beliau berkata antara yang diberi perhatian adalah penyediaan latihan, persetujuan gaji dan pengesahan serta kelulusan pihak berkuasa negara itu dalam membolehkan pelaksanaan pengambilan semula program tersebut yang sebelum ini terbantut pada 2011.

    “Kedua-dua kerajaan sedang berurusan bagi menyelesaikan masalah terbabit dan perkara-perkara teknikal yang dijangka dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat. Paling cepat awal tahun depan,” katanya sewaktu ditemui Bernama baru-baru ini.

    Dilaporkan pada 2011, kerajaan Kemboja melarang rakyatnya bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia berikutan laporan ada majikan yang memukul pembantu rumah dari negara itu.

    Namun akhir 2015, Malaysia dan Kemboja menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk menyambung penghantaran pembantu rumah ke Malaysia yang dijangka akan bermula Januari depan.

    Pada pembentangan Bajet 2017 baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan kini memberi pilihan kepada majikan untuk mengambil pembantu rumah asing secara langsung dari sembilan negara sumber tanpa melalui ejen berikutan beban kos yang ditanggung isi rumah bagi penggajian pembantu rumah asing.

    Najib berkata selain itu, majikan juga boleh memohon visa pembantu rumah daripada Jabatan Imigresen secara dalam talian dengan bayaran levi dan fi pemprosesan seperti kadar sedia ada

    Mengulas lanjut, Hasan yang juga Anggota Parlimen Kuala Pilah berkata pembantu rumah Kemboja akan menjalani latihan sekurang-kurangnya sebulan, termasuk mempelajari budaya Malaysia serta asas bahasa Melayu dan Inggeris sebelum datang ke Malaysia.

    Menyentuh mengenai pelancongan, Hasan, bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) itu berkata sehingga tahun ini, sebanyak 130,000 rakyat Malaysia telah melancong ke negara itu yang satu masa dulu dikenali dunia akan kekejaman rejim Pol Pot.

    “Kemboja adalah antara contoh kejayaan Malaysia yang membantu negara-negara di Asia Tenggara untuk membangun dan lebih maju sewaktu berdepan kesusahan selepas era kekejaman Pol Pot. Malah rakyat Malaysia dihantar untuk meneroka perniagaan di Kemboja dan membantu meningkatkan ekonomi mereka.

    “Di Kemboja, banyak cerita kejayaan rakyat Malaysia kerana 95 peratus rakyat Malaysia yang melabur di negara itu, telah pun beroleh kejayaan melibatkan pelbagai sektor termasuk pembinaan, perbankan, pertanian, komunikasi, pelancongan dan perkhidmatan.

    “Oleh itu, tugas saya sebagai duta menjadi lebih lancar dan mudah kerana kejayaan rakyat dan pelabur Malaysia yang sememangnya mempunyai hubungan yang baik dengan Kemboja terutamanya melibatkan perniagaan,” kata Hasan yang dilantik menjadi Duta ke Kemboja sejak Mac 2016.

    Beliau menambah antara ahli perniagaan Malaysia yang berjaya di Kemboja adalah pemilik pusat hiburan dan istirahat mewah NagaWorld, Tan Sri Dr Chen Lip Keong yang merupakan antara pelabur utama di negara tersebut.

    Selain itu, jelas Hasan, antara syarikat Malaysia lain yang telah mengukuhkan kejayaan di negara tersebut adalah seperti Felda, Public Bank, CIMB, Axiata, Maybank, Sunway Group, Mutiara Teknologi, dan bahkan dari tujuh bank asing di negara itu, separuh adalah milik Malaysia.

    Hasan berkata misinya kini adalah membawa pulang sebahagian pelaburan rakyat Malaysia di Kemboja untuk dilaburkan semula di Malaysia bagi membangunkan dan memajukan lagi ekonomi dalam misi menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi.

    Menyentuh mengenai isu kebajikan dan bantuan dihantar dari Malaysia ke Kemboja, Hasan berkata sebelum ini, kebanyakan bantuan dihantar sendiri daripada badan bukan kerajaan (NGO) tanpa melibatkan kedutaan, sehingga menimbulkan isu seperti bantuan tidak sampai ke kumpulan sasaran.

    “Maka, saya ambil inisiatif untuk selaraskan balik dengan bantuan Pejabat Mufti Kemboja agar semua bantuan NGO ini kami agihkan ke seluruh Kemboja sama rata dan tiada isu hanya setempat sahaja,” tambahnya. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Malaysia-Kemboja Selesai Isu Sebelum Ambil Amah "