• Malaysia, Indonesia Sepakat Buka Semula Aktiviti Perdagangan Rentas Sempadan

    Published: Wednesday, 22 November 2017
    A- A+

    KUCHING: Dalam usaha memperkasakan pertumbuhan ekonomi di Kepulauan Borneo, Malaysia dan Indonesia sepakat membuka semula aktiviti perdagangan rentas sempadan di Tebedu (Sarawak) dan Entikong (Kalimantan Barat).

    Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ini kerana kepulauan tersebut berpotensi besar berkembang sebagai wilayah pertumbuhan ekonomi baharu dan terpenting di peringkat serantau.

    "Sempadan Tebedu - Entikong bakal menjadi laluan perdagangan darat utama antara kedua-dua wilayah selepas kita memuktamadkan usaha mengemaskini Perjanjian Perdagangan Sempadan (BTA) dan Perjanjian Rentas Sempadan (BCA).

    "Ia sedang diperhalusi kedua-dua negara, yang turut membabitkan pembukaan pos sempadan baharu di sempadan Sabah, Sarawak dan Wilayah Kalimantan, dalam usaha merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi di wilayah ini," katanya pada sidang media bersama Presiden Indonesia Joko Widodo selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (Mou) Pendidikan Tinggi Islam antara Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh serta Menteri Luar Indonesia, Retno L.P Marsudi di sini, hari ini.

    Pada Majlis Perundingan Tahunan Malaysia - Indonesia Ke-12 yang berlangsung semalam, kedua-dua negara juga bersetuju untuk membebaskan nelayan yang ditahan atas kesalahan menceroboh sempadan perairan ketika menangkap ikan.

    Menurut Najib lagi, rasional di sebalik persetujuan itu adalah disebabkan mereka adalah golongan yang seharusnya dibantu bagi meneruskan kelangsungan hidup.

    Tambahnya, kebanyakan kes pencerobohan itu berlaku secara tidak sengaja, selain dikenalpasti berpunca dari kekeliruan sempadan wilayah perairan kedua-dua negara.

    "Saya dan Presiden Jokowi sependapat bahawa nelayan terbabit adalah golongan miskin yang bergantung sepenuhnya kepada kerja-kerja menangkap ikan untuk menyara hidup. Jadi, kita bersetuju agar mereka dibebaskan secepat mungkin bersama dengan bot dan kelengkapan menangkap ikan dirampas," ujarnya.

    Perdana Menteri menjelaskan, beliau dan Jokowi juga sedang mengenalpasti kaedah penyelesaian lebih efisyen bagi menangani isu pelanggaran sempadan perairan yang sering dialami nelayan kedua-dua negara.-Sarawakiana

    Subjects:

  • No Comment to " Malaysia, Indonesia Sepakat Buka Semula Aktiviti Perdagangan Rentas Sempadan "