• Malaysia hormati AS keluar daripada TPP

    Published: Friday, 10 November 2017
    A- A+


    DANANG, Vietnam: Malaysia komited dengan perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) walaupun tanpa penyertaan Amerika Syarikat (AS), kata Datuk Seri Najib Razak.

    Perdana Menteri berkata, ini kerana TPP penting untuk pertumbuhan ekonomi dan pelaksanaan perdagangan bebas yang dirintis oleh 11 negara dalam kalangan 21 negara APEC, selain menjana kekayaan oleh negara di rantau ini.

    "Saya lihat nadanya (penerimaan TPP) berbeza ketika ini, meningkatnya anti-globalisasi dan meningkatnya sikap tertutup yang mana secara ironinya bertentangan dengan falsafah penubuhan APEC," katanya pada sesi dialog Masa Depan APEC Pasca 2020 di Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) APEC, di sini, hari ini.

    Turut serta dalam dialog itu ialah Perdana Menteri Papua New Guinea (PNG), Peter O'Neill.

    Najib berkata, APEC perlu melihat ke arah mana tujuan penubuhannya itu, mengkaji fungsinya secara global, termasuk dalam menggalakkan perdagangan bebas.

    Beliau berkata, Malaysia menghormati langkah AS untuk keluar daripada TPP dan fungsi yang dipegang AS sebelum ini, kini diambil alih Jepun untuk merangka versi baru TPP.

    "Sudah ada banyak kemajuan dan pegawai kita bekerja keras mesyuarat, termasuk sehingga jam 3 pagi malam tadi dan saya percaya kita sudah dapat persetujuan untuk mengeluarkan pernyataan bersama," katanya.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Malaysia hormati AS keluar daripada TPP "