• Makmal Syabu Diserbu

    Published: Tuesday, 7 November 2017
    A- A+

    Polis membongkar sebuah makmal 'mini' memproses syabu di kawasan perumahan elit dengan penahanan lima individu termasuk tiga sekeluarga dalam beberapa serbuan di sekitar Klang, 2 November lalu.

    Operasi bermula 1 tengah hari hingga 4.30 petang itu dijalankan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan menerusi hasil maklumat dan risikan mengenai kegiatan haram berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, penahanan pertama membabitkan empat individu termasuk pasangan suami isteri dan bapa mereka di sebuah kedai makan di Pandamaran.

    "Ia kemudian membawa kepada penahanan seorang lagi suspek di Taman Sejati dan sebuah makmal haram memproses dadah di sebuah rumah teres tiga tingkat di Bandar Botanic pada hari sama.

    "Selain pelbagai peralatan memproses syabu, kita merampas 100 gram dadah itu dan 3.8 kilogram minyak methampethamine (meth oil). Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM110,000," katanya pada sidang media di pejabatnya, hari ini.

    Menurut beliau, pihaknya turut menyita barangan bernilai RM450,000 membabitkan empat kereta, empat cincin dan sejumlah wang tunai untuk tindakan lanjut.

    Kata Amar, semua suspek berusia 18 hingga 53 tahun itu direman antara 8 hingga 10 November ini bagi membantu siasatan.

    "Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya memaklumkan ia rampasan narkotik terbesar pihaknya tahun ini.

    Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya turut berjaya menyelesaikan dua kes samun kedai serbaneka dengan tertangkapnya dua lelaki berusia 30-an dan 31 tahun, masing-masing pada 26 Oktober lalu dan semalam.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Makmal Syabu Diserbu "