• Majlis Bandaraya Miri Fokus Atasi Masalah Banjir Kilat

    Published: Thursday, 16 November 2017
    A- A+

    MIRI: Projek mitigasi banjir akan dilaksanakan di Bandaraya Miri sebagai sebahagian tindakan segera Majlis Bandaraya Miri (MCC) untuk mengatasi masalah banjir kilat yang berlaku terutama pada musim hujan ketika ini.

    Datuk Bandar Bandaraya Miri Adam Yii Siew Sang berkata satu daripada kawasan yang diberi tumpuan oleh MCC ketika ini ialah kawasan Taman Tunku, terletak di pinggir Bandaraya Miri, yang sering dilanda banjir kilat pada musim hujan.

    "Bagi masalah banjir kilat di Taman Tunku ia disebabkan oleh mendapan di Sungai Dalam, ia terletak di kawasan rendah dan pembangunan pesat di kawasan itu menyebabkan mendapan semakin banyak," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

    Yii berkata satu daripada cadangan mitigasi untuk mengatasi masalah banjir kilat di kawasan itu ialah dengan mengeluarkan mendapan di dasar Sungai Dalam dengan lokasi untuk kerja mengeluarkan mendapan itu akan diputusan Jabatan Pengairan dan Perparitan (DID).

    "Sebaik sahaja DID memutuskan lokasi sesuai bagi projek mengeluarkan mendapan, MCC akan melaksanakan projek itu," katanya sambil menambah keseluruhan proses itu mungkin akan mengambil masa seminggu.

    Untuk rekod, Taman Tunku merupakan kawasan yang sedang pesat membangun sebagai kawasan perumahan dan komersial dan sering dilanda banjir kilat walaupun hujan beberapa jam sahaja yang menjadi rungutan penduduk di situ sejak sekian lama.

    Berhubung masalah banjir kilat di Bulatan Pujut, satu daripada bulatan paling sibuk di Bandaraya Miri yang menghubungkan ke banyak kawasan komersial, perumahan dan kampung, Yii berkata kajian menyeluruh akan diadakan dalam waktu terdekat untuk mengatasi masalah itu.

    Beliau berkata berdasarkan pemeriksaan dijalankan di longkang sepanjang jalan Miri/Pujut, Jalan Pintasan dan Jalan Padang Kerbau, aliran air tersekat dan terdapat banyak sampah-sarap tetapi telah dibersihkan dua minggu lepas.

    "MCC, dalam masa terdekat akan mengadakan perjumpaan dengan DID, Sarawak Energy Berhad (SEB) serta syarikat-syarikat konsesi jalan yang bekerja dengan kita," katanya.

    Beliau berkata projek mitigasi yang akan dijalankan di bulatan dan jalan perlu mengambil kira kesesakan aliran trafik dan utiliti yang terdapat di bawah tanah sepanjang jalan berkenaan.

    -- BERNAMA
  • No Comment to " Majlis Bandaraya Miri Fokus Atasi Masalah Banjir Kilat "