• Lokasi Berbahaya Jalan Pesisir Miri, Bintulu Dikenalpasti

    Published: Wednesday, 29 November 2017
    A- A+

    MIRI: Kerajaan negeri mengenal pasti beberapa tempat dan lokasi berbahaya di sepanjang jalan pesisir yang menghubungkan Miri dan Bintulu serta mengkaji penyelesaian terbaik untuk mengatasinya.

    Memetik laporan Utusan Borneo, Menteri Muda Jalan Pesisir Datuk Julaihi Narawi memberitahu, selain bahu jalan agak kecil terdapat beberapa spot atau lokasi yang berbahaya kepada pengguna di jalan pesisir tersebut yang kerap mengakibatkan kemalangan termasuk kemalangan maut.

    “Tinjauan kita mendapati keadaan bahu jalannya agak kecil dan berbahaya kepada pengguna jalan apatah lagi jalan hanya dua lorong sahaja.

    “Terdapat juga ‘spot-spot’ tertentu turut berbahaya dan kerap melibatkan kemalangan jalan raya termasuk meragut nyawa selain terdapat simpang tertentu perlu diberi perhatian,” katanya.

    Katanya, Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah dimaklumkan untuk mengkaji dan mencari penyelesaian terbaik bagi mengatasi masalah tersebut.

    “Selain itu, terdapat simpang masuk agak berbahaya sepanjang laluan terbabit akan diberi perhatian dan kita serahkan kepada JKR menyelesaikan masalah itu.

    “Misalnya kalau jalan kecil mereka boleh memperbesarnya atau mengkaji penyelesaian lain, kita serahkan kepada mereka kerana mereka lebih tahu dan apa yang patut dilakukan,” ujarnya.

    Menurut Julaihi, mengenai cadangan penduduk setempat memasang lampu jalan di laluan yang gelap, cadangan tersebut pernah dikemukakan kepada kementerian terbabit dan mengakui masalah tersebut perlu diberi perhatian.

    Beliau berkata, pihaknya akan menentukan siapakah pihak berkuasa tempatan yang menyelenggara jalan berkenaan sebelum boleh menyerahkannya kepada mereka untuk dikemukakan agar tindakan susulan dapat diambil.

    “Jika jalan ini di bawah majlis bandar raya kita serahkan kepada mereka dan begitu juga jika di bawah bidang kuasa Majlis Daerah (Subis) maka kita meminta mereka mengambil tindakan sewajarnya bagi menyelesaikannya,” jelasnya.

    Tambahnya, pihaknya turut membincangkan mengenai hasrat membuka sebuah pusat rawat dan rehat (R&R) di laluan terbabit bagi membolehkan pengguna berehat di tempat bersesuaian dan selamat.

    “Dengan adanya pusat R&R ini, maka pengguna yang keletihan atau mengantuk boleh berhenti di lokasi lebih selamat dan dilengkapi kemudahan serta keperluan,” katanya lagi..

    Kementerian itu juga mengkaji keperluan-keperluan lain untuk penduduk kampung memandangkan terdapat banyak perkampungan dan rumah panjang terletak di sepanjang jalan pesisir. – Sarawakiana
  • No Comment to " Lokasi Berbahaya Jalan Pesisir Miri, Bintulu Dikenalpasti "