• Lindungi Perairan Labuan Pencerobohan Kapal Asing

    Published: Thursday, 16 November 2017
    A- A+


    LABUAN – Perairan Labuan akan dilindungi daripada sebarang pencerobohan oleh kapal nelayan asing demi kepentingan nelayan tempatan dan kedaulatan negara.

    Bagaimanapun, penguatkuasaan yang ketat daripada kalangan pegawai penguat kuasa berintegriti tinggi diperlukan untuk membendung isu itu secara berkesan, kata Senator Datuk Bashir Alias.

    Beliau berkata kerjasama erat daripada orang ramai khususnya nelayan adalah penting kerana mereka boleh menjadi ‘mata dan telinga’ kepada pihak berkuasa tempatan dengan menyalurkan maklumat penting.

    “Kita perlu bekerjasama untuk membendung pencerobohan ke perairan Labuan oleh nelayan asing dan juga penggunaan bom ikan yang boleh menyebabkan kerosakan teruk kepada hidupan marin dan batu karang,” katanya ketika merasmikan program Memperkukuhkan Komuniti Nelayan dan penyampaian bantuan di sini hari ini.

    Pengerusi Majlis Penasihat Perbadanan Labuan itu juga menggesa nelayan tempatan untuk bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam membanteras aktiviti penangkapan ikan secara haram, khususnya daripada pengendali kapal asing.

    Terdapat laporan pencerobohan oleh kapal asing diterima, khususnya dari Vietnam yang menjalankan aktiviti penangkapan ikan secara haram di perairan Labuan.

    Lebih 50 nelayan diketuai oleh Ketua Masyarakat Perikanan Labuan Abdul Samad Maidin melafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sambil disaksikan Ketua SPRM Sabah Abdulamin Abdillah. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Lindungi Perairan Labuan Pencerobohan Kapal Asing "