• Lelaki Telan Pingat Emas Isteri

    Published: Wednesday, 1 November 2017
    A- A+

    BEIJING: Seorang lelaki dikejarkan ke hospital selepas dia menelan pingat emas milik isterinya yang juga atlet taekwondo ketika bertengkar, baru-baru ini.

    Media tempatan melaporkan, lelaki itu yang juga juara kickboxing bergaduh dengan isterinya di rumah mereka di wilayah Shaanxi.

    Dalam pergaduhan berkenaan, wanita itu dilaporkan memecahkan piala yang pernah dimenangi suaminya.

    Lelaki itu yang berang dengan tindakan isterinya kemudian bertindak mengambil pingat emas yang pernah dimenangi wanita itu sebelum menelannya.

    Beberapa jam kemudian, lelaki itu mengadu sakit dada sebelum dia dibawa ibunya ke Hospital Sekolah Perubatan Universiti Xi’an Jiatong.

    Pemeriksaan doktor mendapati pingat sebesar tiga sentimeter lebar itu tersangkut di saluran pernafasan lelaki berkenaan.

    Seorang doktor, Zhang Juan berkata, dia menggunakan kaedah endoskopi untuk memeriksa saluran pernafasan lelaki itu.

    “Cara mengeluarkan pingat itu menggunakan kaedah ini agak berisiko kerana objek itu mungkin tersangkut di tekak pesakit.

    “Bagaimanapun, selepas beberapa minit berusaha akhirnya kami berjaya mengeluarkan objek itu,” katanya.

    Menurutnya, lelaki itu berada dalam keadaan stabil dan dibenarkan keluar dari hospital sehari selepas itu.-Agensi

    Subjects:

  • No Comment to " Lelaki Telan Pingat Emas Isteri "