• Lelaki Kudung Ditahan Menagih Dadah

    Published: Thursday, 2 November 2017
    A- A+

    Lelaki kudung berusia 37 tahun ditahan bersama 13 individu dalam satu operasi yang dijalankan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Pendang di beberapa kampung di Pendang, hari ini.

    Pemangku Ketua Pegawai AADK Daerah Pendang, Nazir Kassim berkata, operasi bermula 11 malam dan berakhir 5 pagi hari ini membabitkan enam anggota AADK diketuai oleh Mohd Hafiz Mansor.

    Beliau berkata, Kampung Sungai Tiang, Kampung Tok Set, Kampung Pulau Keramat, Kampung Belakang Pendang dan Kampung Changkat Nering diserbu dalam operasi terbabit hasil daripada maklumat awam dan risikan.

    Katanya, seramai 16 individu berusia antara 19 hingga 43 tahun diperiksa, namun hanya 14 daripadanya positif methamphetamine manakala dua negatif dan dibebaskan tanpa syarat.

    "Kebanyakan yang ditahan bekerja sebagai penoreh getah dan pesawah.

    "Semua yang positif dadah akan didakwa mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983," katanya.

    Menurutnya, lelaki kudung kaki kiri itu cuba merayu agar dibebaskan oleh anggota AADK atas kecacatan dirinya.

    "Kita juga akan menyiasat dan akan memohon supaya dibatalkan jika dia menerima bantuan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat)," katanya.

    Menurutnya, pihak AADK menghadapi kesukaran ketika menjalankan tugas kerana keadaan semak di kawasan rumah yang membahayakan anggota ketika serbuan dan terdedah dengan bahaya reptilia berbisa.

    "Bagaimanapun anggota kami berjaya melaksanakan operasi terbabit dengan menahan semua penagih terbabit," katanya.

    Nazir berkata, masyarakat digesa membantu pihak AADK agar masalah dadah dapat dibendung dari akar umbi supaya generasi baru dapat menikmati kehidupan yang sihat tanpa dadah.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Lelaki Kudung Ditahan Menagih Dadah "