• Lelaki Kenya Maut Tergelincir Di Air Terjun

    Published: Wednesday, 22 November 2017
    A- A+

    Lelaki Kenya maut selepas tergelincir ketika mandi di Air Terjun Telaga Tujuh, Langkawi, hari ini.

    Dalam kejadian 5.15 petang itu, Kamudi Valentine Muthomi, 27, yang berasal dari Nairobi, Kenya meninggal dunia di tempat kejadian selepas dilaporkan terjatuh dari ketinggian kira-kira sembilan meter dan parah di kepala.

    Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Penguasa Bomba Mohamad Mustakim Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.26 petang.

    Katanya, sebaik menerima maklumat berhubung kejadian itu, tujuh anggota bomba bersama dua jentera termasuk jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi.

    "Sejurus tiba anggota bomba mendapati seorang lelaki Kenya terjatuh dari ketinggian sembilan meter di air terjun itu.

    "Mangsa dibawa turun dan disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan sebelum mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, operasi yang turut disertai Polis Diraja Malaysia serta petugas perubatan Hospital Langkawi itu ditamatkan pada 7.18 malam.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Lelaki Kenya Maut Tergelincir Di Air Terjun "