• Lelaki Bangladesh durjana diburu

    Published: Monday, 6 November 2017
    A- A+

    POLIS sudah mengenal pasti tiga suspek utama warga Bangladesh termasuk teman lelaki kepada seorang wanita berusia 39 tahun yang terbabit dalam kes dua beradik perempuan dilacurkan ibu kandungnya sejak September lalu.

    Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, pihaknya masih mengesan semua suspek yang dipercayai masih berada di negara ini.

    “Walaupun belum berjaya menangkap suspek tetapi pelbagai langkah diambil untuk mengesan semua mereka.

    “Ia tidak mudah sebab suspek bukan rakyat kita (warga negara) dan kita akan mengesan dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

    Beliau berkata, pihaknya percaya semua lelaki berusia 30-an itu berada di luar Johor selain permit pekerjaan sudah tamat.

    Menurutnya, kedua-dua kanak-kanak perempuan berusia lapan dan 10 tahun itu masih ditempatkan di bawah jagaan Jabatan KebajikanMasyarakat (JKM).

    “Kanak-kanak itu di bawah jagaan JKM dan masih trauma dengan kejadian menimpa mereka, namun dalam keadaan baik,” katanya.

    Katanya, tujuh lelaki warga Bangladesh, majikan mereka serta wanita terbabit masih ditahan bagi membantu siasatan.

    “Majikan warga tempatan itu ditahan selepas suspek yang digajikan tidak mempunyai permit,” katanya.

    Polis sebelum ini menahan seorang wanita berusia 39 tahun kerana didakwa memaksa dua anak perempuannya berusia lapan dan 10 tahun menjadi pelacur.

    Wanita yang tidak bekerja itu dipercayai memaksa dua anaknya untuk memberi perkhidmatan seksual kepada tiga lelaki warga Bangladesh.

    Siasatan awal mendapati wanita itu membawa dua anaknya ke sebuah hotel bajet di Larkin untuk melakukan perbuatan terkutuk itu sejak bulan lalu dan menerima bayaran RM50 setiap kali anak-anaknya dilacurkan.

    Hasil maklumat orang awam, polis berjaya menahan wanita itu pada 25 Oktober lalu di Taman Bintang, Senai.

    Dua anak perempuan wanita itu dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk pemeriksaan sebelum dibawa ke JKM untuk tindakan susulan.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 372 Kanun Keseksaan kerana cuba menawarkan khidmat seks kepada pelanggan dan Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol. Selain itu, kes juga disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 kerana kesalahan pemerdagangan orang dan pemerdangan kanak-kanak.-HMETRO

    Subjects:

  • No Comment to " Lelaki Bangladesh durjana diburu "