• Lawatan Pasangan Diraja Letak Sarawak Lebih Dikenali

    Published: Tuesday, 7 November 2017
    A- A+

    KUCHING - Lawatan pasangan diraja Britain, Putera Charles Prince of Wales, dan Camilla Duchess of Cornwall, ke Kuching semalam, meletakkan Sarawak di peta pelancongan dunia.

    Ini berikutan hakikat bahawa lawatan pasangan diraja itu mendapat liputan meluas media di seluruh dunia, terutamanya di United Kingdom, kata Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

    “Ke mana sahaja baginda berdua pergi, media dunia terutamanya di UK, akan menyiarkannya. Ini meletakkan Sarawak di peta pelancongan dunia,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

    Abdul Karim kagum dengan minat mendalam Putera Charles terhadap alam sekitar dan pemuliharaan, yang terserlah semasa lawatan baginda ke Pusat Pemuliharaan Hidupan Liar Semenggoh dan Pusat Diversiti Sarawak.

    “Baginda kelihatan begitu tertarik dengan orang utan di Pusat Pemuliharaan Hidupan Liar Semenggoh selain Pusat Biodiversiti Sarawak.

    “Baginda banyak bertanyakan soalan kepada penjaga dua pusat berkenaan dan kelihatan amat berpuas hati dengan usaha yang dilaksanakan kerajaan Sarawak,” katanya.

    Kunjungan ke Sarawak adalah sebahagian daripada lawatan tujuh hari pasangan diraja itu ke Malaysia bagi meraikan ulang tahun ke-60 hubungan dua hala antara Malaysia dan Britain. - Bernama
  • No Comment to " Lawatan Pasangan Diraja Letak Sarawak Lebih Dikenali "