• Laporan RCI Forex BNM Dibentang Di Parlimen Hari Ini

    Published: Thursday, 30 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Laporan Suruhanjaya Siasatan Bagi Menyiasat Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing Bank Negara Malaysia (BNM) Sekitar 1990-an dibentangkan di Parlimen, hari ini.

    Sumber memaklumkan laporan setebal 400 muka surat itu diagihkan kepada 222 Ahli Parlimen sebelum sidang Dewan Rakyat bermula.

    Laporan itu tidak tersenarai dalam Aturan Urusan Mesyuarat.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said dijangka mengeluarkan kenyataan media berhubung laporan itu sedikit masa lagi.

    Sementara itu Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee ketika dihubungi menjelaskan laporan itu tidak akan dibahaskan kerana tidak tersenarai dalam Aturan Urusan Mesyuarat.

    Beliau berkata, walaupun tidak dibahaskan, laporan itu seperti laporan lain yang diagihkan kepada Ahli Parlimen dan dianggap sebagai dokumen rasmi yang dibentangkan di dewan.

    Pada 15 Februari lalu, kerajaan mengumumkan penubuhan Pasukan Petugas Khas (PPK) yang diketuai Mohd Sidek untuk menyiasat dakwaan skandal kewangan terbesar membabitkan kerugian berbilion ringgit dialami BNM dalam perdagangan mata wang asing pada 1990-an dan mengemukakan syornya.

    Pada 21 Jun lalu, laporan akhir PPK mendedahkan wujud kes prima facie dalam kerugian urus niaga mata wang asing (forex) BNM.

    Pasukan itu juga mendapati jumlah kerugian urus niaga berkenaan jauh lebih besar daripada angka dimaklumkan kepada Parlimen dan Jemaah Menteri lebih 20 tahun lalu.

    PPK mengesyorkan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi mengakhiri isu ini demi masa depan negara.RCI itu ditubuhkan khas untuk menyiasat skandal forex di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.

    Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah Menteri Kewangan ketika itu.

    Siasatan RCI itu dipengerusikan bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan; Hakim Mahkamah Tinggi, Kamaludin; Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Berhad, Datuk Seri Tajuddin Atan; Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan, Tan Sri Saw Choo Boon; Ahli Institut Akauntan Malaysia, K Pushpanathan; dan Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan, Datuk Dr Yusof Ismail. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Laporan RCI Forex BNM Dibentang Di Parlimen Hari Ini "