• Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching Jadi Pilihan DFTZ Di Sarawak

    Published: Wednesday, 8 November 2017
    A- A+

    Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) menjadi pilihan kerajaan negeri untuk dijadikan Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) yang akan memudahkan akses e-dagang antara rakyat Sarawak dengan masyarakat global.

    Memetik laporan Utusan Borneo, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg berkata langkah ini adalah untuk merealisasikan ekonomi digital dan e-dagang di negeri ini disamping memperluaskan jangkauan perniagaan dan memberi peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menjalankan urus niaga secara atas talian.

    Menurutnya, kerajaan negeri juga telah membincangkan perkara ini bersama Pos Malaysia yang merupakan rakan kongsi Alibaba.

    “Kita sudah bincang dengan Pos Malaysia kerana ia merupakan rakan Alibaba untuk mewujudkan DFTZ. Mungkin Kuching akan menjadi DFTZ antara kita (Sarawak) dengan Alibaba,” katanya.

    Sementara itu, Abang Johari menegaskan bahawa beliau telah mengambil inisiatif untuk membangunkan e-Commerce, dan mengetahui peranan penting dalam era perdagangan moden.

    "Kita perlu mengambil pendekatan digital untuk memaksimumkan sumber kita untuk melonjak ekonomi kita melalui e-dagang, dan ia akan menjadi sebahagian daripada transformasi ekonomi kita," katanya. - Sarawakiana
  • No Comment to " Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching Jadi Pilihan DFTZ Di Sarawak "