• Laman Web Homestay Dayak Pertama Dilancar

    Published: Friday, 24 November 2017
    A- A+

    KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas melahirkan rasa bangga dengan kemampuan Dewan Perdagangan dan Perindustrian Dayak (DCCI) mewujudkan laman web khas untuk mempromosikan homestay Dayak.

    Laman web dikenali sebagai DCCI Homestay Dayak diwujudkan dengan kerjasama Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN).

    Menurut Uggah, kewujudan laman web tersebut secara tidak langsung dapat memasarkan industri homestay terutama di kawasan luar bandar dan rumah panjang ke serata dunia.

    "Saya dimaklumkan ini adalah laman web pertama melibatkan homestay Dayak dan saya amat berbangga dengan pencapaian DCCI ini," katanya.

    Sehubungan itu, beliau berharap setiap pengusaha homestay dapat membuat kajian untuk memastikan industri tersebut terus berkembang dan menjadi kebanggan Sarawak.

    "Kita mahu ia (homestay) menjadi industri terpenting di Sarawak pada masa akan datang," ujarnya.

    Uggah turut menggesa DCCI supaya bersedia untuk menghadapi iklim ekonomi negeri yang bakal berubah kepada ekonomi digital pada masa akan datang.

    "DCCI perlu bersedia berdepan cabaran terutama dalam era ekonomi digital," jelasnya.-Sarawakiana






  • No Comment to " Laman Web Homestay Dayak Pertama Dilancar "