• Ladang Di Telagus Serian Diwartakan Kawasan Baharu Wabak Rabies

    Published: Thursday, 30 November 2017
    A- A+
    Gambar Hiasan
    KUCHING: Sebuah ladang di Telagus, Serian diwartakan sebagai kawasan terbaharu dijangkiti wabak rabies, menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini di Sarawak sebanyak 27 buah kawasan.

    Perkara tersebut disahkan oleh Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam satu kenyataan susulan menerima keputusan persampelan wabak rabies daripada Institut Penyelidikan Veterinar, Ipoh kelmarin yang mengesahkan anjing tersebut didapati positif rabies.

    Menurutnya, anjing milik individu dari ladang tersebut telah menggigit betis kanan mangsa warganegara Indonesia yang berusia 42 tahun itu pada pada 19 Oktober lalu dan mangsa telah mendapatkan dua rawatan pada hari kejadian dan lima hari kemudian.

    "Ladang tersebut telah diwartakan sebagai kawasan wabak Rabies yang ke-27," kata kenyataan tersebut.

    Kawasan rabies di Serian adalah Kampung Krait, Kampung Paon Rimu, Kampung Paon Rimu Bakung, Kampung Remun, Kampung Lebor, Kampung Saroban, Kampung Tangga, Kampung Ampungan, Kampung Mentong Berawan, Kampung Mentong Silaga, Kampung Engkabang, Kampung Tampek Sumpas, Kampung Rasau, pekan Siburan, bandar Serian, Batu 45 Jalan Kuching-Sri Aman, Kampung Temong Mura (Tebedu), Kampung Entubuh (Tebedu) dan Kampung Kuala, Gedong, manakala di Samarahan, Kampung Gerunggang.

    “Manakala, Di Bahagian Sri Aman, kawasan terjejas ialah Rumah Janta Punggu Mawang manakala di Bahagian Kuching pula Batu 5 di Jalan Semeba, Pasar Basah Sungai Maong, Kampung Serikin, Bau dan Taman Alamanda Indah, Matang,” katanya.

    Sementara itu, Sekretariat JPBN berkata, jumlah keputusan sampel diterima untuk virus rabies adalah 282 daripada 288 sampel dihantar ke VRI di Ipoh, di mana sebanyak 56 atau 19.9 peratus - terdiri daripada 50 sampel anjing dan enam sampel kucing - disahkan positif rabies.

    Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan telah menangkap 2,556 ekor anjing dari Bahagian Kuching, Sri Aman, Sarikei, Samarahan, Betong dan Serian sebagai mengawal populasi anjing terbiar.

    Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak dalam kenyataan sama melaporkan sebanyak 41,989 haiwan peliharaan telah menerima vaksin antirabies setakat ini.

    Sebanyak 47,137 survelan aktif dan 1,993 survelan pasif turut dijalankan untuk mengawal penularan wabak rabies di kawasan Kuching, Sri Aman, Sarikei, Samarahan, Betong dan Serian. – Sarawakiana
  • No Comment to " Ladang Di Telagus Serian Diwartakan Kawasan Baharu Wabak Rabies "