• Kuota Khas Tentera, Veteran Beli Rumah Mampu Milik

    Published: Thursday, 2 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Anggota dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bakal memiliki kuota khas untuk memiliki rumah mampu milik (RMM) yang dilaksanakan pihak swasta dan kementerian, selain Kementerian Pertahanan (MINDEF).

    Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata perbincangan dengan pelaksana RMM sedang dilaksanakan bagi memudahkan permohonan anggota dan veteran memiliki rumah berkenaan.

    Katanya, antara RMM berkenaan adalah Projek Perumahan Awam 1Malaysia (PPA1M), Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP), Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan Skim Rumah Pertama.

    Beliau berkata, kerjasama dengan pelaksana RMM itu adalah sebahagian daripada Program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) yang akan diperkenalkan bagi bagi mengurangkan kebergantungan anggota ATM terhadap penempatan kuarters, serta menggalakkan mereka membeli rumah ketika dalam perkhidmatan.

    "Kami mensasarkan membina 25,000 rumah mampu milik untuk anggota dan veteran ATM seluruh negara menjelang 2030 menerusi program SASaR, dengan nisbah 70 peratus untuk anggota dan 30 peratus bagi veteran.

    "Selain kerjasama dengan pelaksana RMM, MINDEF juga menjalinkan kerjasama dengan kerajaan negeri, swasta dan pembinaan rumah atas tanah milik anggota dan sebanyak 5,972 rumah dijangka dibangunkan antara tahun ini dan tahun depan, menerusi kerjasama ini," katanya.

    Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini, ketika menjawab soalan Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh) berhubung jumlah projek perumahan anggota dan veteran ATM yang didirikan serta dalam pembinaan, selain skim ditawarkan kepada mereka.

    Hishammuddin berkata, pegangan dalam Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) ketika ini adalah sebanyak 52,860 unit, namun kajian pelan induk inisiatif itu mendapati sebanyak 40,627 unit lagi diperlukan.

    "Melalui Rancangan Malaysia Ke-11, 12 projek RKAT membabitkan 3,272 rumah bernilai RM1.27 bilion sudah diluluskan.

    Tiga projek RKAT telah disiapkan, empat lagi dalam pembinaan dan dijangka siap pada 2019, manakala lima lagi dalam proses urusan dokumentasi dan dijadual siap pada 2020.

    "Kerajaan juga meluluskan peruntukan khas RM1 bilion untuk pembinaan 3,500 RKAT di 14 kem seluruh negara dan dijangka siap pada 2020, selain 2,324 unit lagi akan dibina secara pertukaran tanah," katanya.

    Menjawab soalan tambahan Annuar berhubung menyediakan kuota khas bagi tentera dan veteran ATM untuk memiliki Projek Perumahan Rakyat (PPR), Hishammuddin berkata perkara itu sedang dibincangkan.

    Sementara itu, ketika sidang media, Hishammuddin berkata, pihaknya sedang merancang untuk membina satu hospital khas kepada veteran ATM.

    "Kita sudah mengenal pasti lokasi bagi hospital khas untuk veteran itu dan wang pendahuluannya sudah dimuatkan dalam Bajet 2018," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Kuota Khas Tentera, Veteran Beli Rumah Mampu Milik "